MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka tidak menolak kemungkinan ada kilang dan hotel di negeri ini menjadi pelanggan kepada sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) di negeri ini untuk menjimatkan kos operasi mereka.
Pengarahnya, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, ia susulan kejayaan pasukan itu menumpaskan aktiviti sindiket berkenaan membabitkan rampasan bernilai RM40,000 dalam satu serbuan sebuah stor di kawasan perindustrian Taman Malim Jaya, Malim di sini malam tadi.
Menurutnya, serbuan dilakukan 7 malam itu adalah hasil risikan selama tiga minggu menerusi Ops Gasak 2025 dan turut menahan tiga lelaki warga Myanmar berusia 23 dan 24 tahun dipercayai pekerja di stor berkenaan.

“Hasil pemeriksaan kami menemui 166 tong gas LPG iaitu 107 tong berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 59 tong kegunaan industri kapasiti 50 kg yang selalunya digunakan kilang dan sektor hotel dan dipercayai telah beroperasi sejak sebulan lalu.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui hotel atau kilang mana yang menggunakan gas LPG daripada aktiviti decanting dengan memindahkan gas LPG bersubsidi daripada tong 14 kg ke dalam tong industri 50 kg ini.
“Penjualan haram mungkin kerana mereka (hotel dan kilang) ditawarkan pada harga RM300 atau RM350 berbanding harga tanpa subsidi RM400 satu tong untuk menjimatkan kos operasi,” katanya pada sidang media di stor berkenaan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya percaya serbuan kes pertama di Melaka adalah untuk kegunaan industri di Melaka
kerana rampasan tidak melibatkan skala yang besar.
“Kita masih menyiasat dari mana tong gas 14 kg bersubsidi ini dibeli dan ke mana pula tong berkapasiti 50 kg yang telah diisi dengan gas bersubsidi ini dihantar.
“Modus operandi digunakan sindiket ini pula adalah menjalankan kerja-kerja pemindahan gas bermula pada jam 7 malam sehingga ke awal pagi ketika kawasan perindustrian ini sunyi bagi mengelak kegiatan haram mereka dihidu,” tambahnya.
Mohd Hazimin berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang mana jika disabit kesalahan individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun bagi kesalahan pertama.
Manakala syarikat atau perbadanan pula katanya, denda maksimum RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan seterusnya boleh mencecah RM5 juta. – MalaysiaGazette















