MARA Liner Sdn Bhd melancarkan semula operasi bas henti-henti di bawah jenama BAS.MY di Kangar, Perlis.

KANGAR – Perkhidmatan bas henti-henti di Perlis menerima nafas baharu apabila MARA Liner Sdn Bhd melancarkan semula operasi di bawah jenama BAS.MY.

Ia sekali gus memperkukuh komitmen syarikat itu terhadap penyediaan pengangkutan awam yang cekap, selamat dan mampu diakses rakyat.

Majlis pelancaran yang diadakan baru-baru ini disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke  menandakan pencapaian penting dalam usaha memperkasakan sistem pengangkutan luar bandar di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MARA Liner, Zachary Ismail berkata, pihaknya menyambut amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab termasuk melaksanakan pelbagai inisiatif baharu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.

“MARA Liner bukan sahaja menyediakan perkhidmatan bas, malah turut memperkenalkan sistem sokongan lengkap serta inisiatif pendigitalan demi keselesaan pengguna,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Zachary Ismail Zee Ismail

Sebelum pelancaran rasmi, MARA Liner telah melengkapkan 100 peratus penggunaan bas mini baharu, termasuk model mesra OKU (lantai rendah) selain memperkenalkan sistem pengurusan armada berasaskan GPS masa nyata bagi memantau prestasi operasi.

Turut diperkenalkan ialah Aplikasi Journey Planner, yang membolehkan pengguna menyemak waktu dan lokasi bas dengan mudah.

Kata Zachary, sejak fasa awal Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST), MARA Liner mengekalkan purata pencapaian KPI utama 98.5 peratus hingga 99 peratus melibatkan kepatuhan trip, laluan dan ketepatan masa menjadikan syarikat itu antara pengendali paling konsisten di negara ini.

Jelasnya, MARA Liner turut menyediakan akses percuma melalui Kad Konsesi kepada pelajar sekolah, siswa, OKU dan warga emas, selain menawarkan Kad 30 Hari tanpa had perjalanan pada kadar mampu milik serendah RM50 sebulan.

Sebagai pengendali milik penuh MARA di bawah MARA Corporation Sdn Bhd, MARA Liner sering menjadi lokasi rujukan bagi pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk sesi lawatan sambil belajar, latihan teknikal dan perkongsian amalan terbaik.

“Pengangkutan awam bukan sekadar perkhidmatan sebaliknya ia adalah amanah, dan kami berdiri teguh memikul amanah itu dengan profesionalisme dan integriti,” tambah Zachary.

Untuk makluman, MARA Liner merupakan antara pengendali utama bas awam milik GLC di Malaysia, beroperasi dalam sektor bas ekspres, henti-henti dan sewaan dengan reputasi kukuh dalam disiplin operasi, capaian luar bandar dan pendekatan inovatif terhadap transformasi pengangkutan negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast