Syed Hussain Syed Husman

KUALA LUMPUR – Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) memuji kepimpinan dan usaha diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya membawa Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.

Menurut Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, kejayaan itu bukan sahaja membuktikan keupayaan Malaysia memainkan peranan penting di peringkat ASEAN malah membawa kelegaan besar kepada sektor perniagaan dan pelabur yang terlibat secara langsung di kedua-dua negara tersebut.

“Bagi pihak majikan di Malaysia termasuk mereka yang mempunyai operasi serantau, rantaian bekalan dan pelaburan di Thailand serta Kemboja, MEF merakamkan penghargaan mendalam atas keberanian intervensi diplomatik Perdana Menteri yang menyelesaikan ketegangan Thailand–Kemboja dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Hussain berkata, gencatan senjata itu amat signifikan memandangkan Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang besar dengan kedua-dua negara.

Jelasnya, Thailand merupakan antara rakan dagang terbesar Malaysia di ASEAN dengan nilai perdagangan melebihi RM100 bilion setiap tahun manakala pelaburan Malaysia di Kemboja pula telah melepasi RM12.6 bilion terutamanya dalam sektor pembinaan, perbankan, pertanian dan telekomunikasi.

“Sebarang ketidakstabilan di kedua-dua negara ini memberi kesan besar kepada kesinambungan perniagaan, rantaian bekalan dan keyakinan pelabur.

“Kejayaan ini datang pada masa dunia berdepan persekitaran perniagaan yang semakin kompleks, dengan perdagangan global yang perlahan, ketegangan geopolitik berpanjangan serta gangguan terkini akibat kadar tarif Amerika Syarikat,” katanya.

Syed Hussain yang juga Presiden Konfederasi Majikan Asia-Pasifik (CAPE) berkata, penyelesaian segera ini turut memberi kelegaan kepada ahli CAPE dari 21 negara yang mempunyai operasi atau pelaburan langsung di kedua-dua negara berkenaan.

“Penyelesaian proaktif ini bukan sahaja membantu mengelakkan kerugian komersial dan gangguan rantaian bekalan, tetapi juga mencegah risiko reputasi yang boleh timbul daripada konflik yang berlarutan.

“Ia sekali gus mewujudkan persekitaran lebih selamat dan stabil untuk syarikat beroperasi,” jelasnya.

Beliau menambah, majikan di seluruh rantau terutamanya dalam sektor pembuatan berintensifkan buruh, agroperniagaan, logistik, dan runcit rentas sempadan kini berpeluang meneruskan operasi tanpa gangguan sambil memastikan keselamatan tenaga kerja dan fasiliti masing-masing.

“MEF memuji komitmen Thailand dan Kemboja dalam menyelesaikan konflik secara aman melalui platform ASEAN serta mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana berjaya meletakkan Malaysia di tengah-tengah diplomasi serantau yang membina,” katanya.

Menurut beliau, tindakan itu mengukuhkan kepentingan keamanan serantau sebagai asas kestabilan ekonomi, keyakinan pelabur dan jaminan pekerjaan bagi rakyat di rantau ini.

“MEF mengulangi sokongan terhadap semua usaha serantau yang melindungi kesinambungan perniagaan, mempromosikan penyertaan damai dan menggalakkan kerjasama ekonomi intra-ASEAN yang kukuh.

“Kami berharap kestabilan ini dapat dikekalkan dan menggesa semua pihak meneruskan momentum ke arah keamanan berkekalan serta kemakmuran bersama,” tambahnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast