Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Pemilik dua lori didenda RM1,600 setelah didapati cuba memindahkan 59 batang balak tanpa pas memindah dalam satu operasi di Kampung Randagong, Ranau pada 1.30 pagi Rabu lepas.

Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Datuk Frederick Kugan berkata, jabatan itu dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am melalui Operasi Khazanah telah menahan kedua-dua lori yang didapati bergerak antara 7 malam hingga 7 pagi tanpa kebenaran.

Beliau berkata, siasatan lanjut mengesahkan semua balak yang diangkut oleh lori terbabit merupakan keluaran dari Daerah Sipitang dan semua bayaran royalti berjumlah RM4,732.70 telah dijelaskan kepada kerajaan negeri.

“Merujuk harga pasaran pemprosesan kayu-kayan domestik, JPS mengesahkan nilai komersial semua balak dianggarkan berjumlah RM31,600 dan susulan kesalahan yang dilakukan, pelesen telah dikenakan denda berjumlah RM1,600,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kugan juga berkata, JPS sentiasa menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan hasil hutan negeri dilindungi manakala aktiviti pembalakan dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast