PASIR GUDANG – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang tiba-tiba membelok masuk ke simpang di Jalan Masai-Kong Kong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan pada pukul 11 pagi itu melibatkan motosikal jenis Yamaha Y125ZR dan kereta Proton Wira.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa iaitu seorang lelaki yang berusia 31 tahun menunggang di lorong kiri dalam perjalanan ke Cahaya Masai.
“Motosikal mangsa bertembung dengan kereta tersebut yang dipandu lelaki tempatan berusia 59 tahun yang datang dari arah bertentangan hendak membelok ke kanan masuk ke simpang Jalan Betik 1,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan dibawa ambulans ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menerima rawatan.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan di HSI pukul 12.38 tengah hari manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu terbabit ditahan untuk membantu siasatan.
Sebarang maklumat daripada saksi kejadian boleh disalurkan menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















