Badrul Hidham Shahrin

KUALA UMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan penahanan aktivis politik, Che’gu Bard atau nama sebenarnya, Badrul Hidham Shahrin terkait Himpunan Turun Anwar sebagai tindakan zalim.

Sambil mengecam tindakan itu, Ketua Penerangan Perkasa, Irwan Fahmi Ideris mendakwa, ia juga menunjukkan Kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang panik dan terdesak.

Katanya, kerajaan hari ini tidak lagi mampu berhadapan dengan kemarahan rakyat yang semakin membuak akibat kegagalan pentadbiran sendiri.

Irwan Fahmi Ideris

“Menangkap suara rakyat bukan penyelesaian, ia hanya menambahkan bara. Che’gu Bard adalah pejuang rakyat. Beliau bersuara demi nasib golongan terpinggir, yang hari demi hari dihimpit kos sara hidup, cukai yang membebankan dan kegagalan kerajaan dalam menunaikan janji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, polis mengesahkan menahan  dua individu termasuk Che’gu Bard berhubung insiden menyebat patung menyerupai Anwar semasa perhimpunan ‘Turun Anwar’ di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, mereka ditahan semalam bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

Sementara itu, Irwan Fahmi berkata, kerajaan sepatutnya menjawab tuntutan rakyat, bukan menakut-nakutkan mereka dengan tangkapan.

Sehubungan itu, beliau menggesa polis segera membebaskan Che’gu Bard tanpa syarat, dan menghentikan tindakan intimidasi terhadap rakyat yang mahu berhimpun secara aman.

“Kami tidak gentar. Rakyat akan terus bersuara. Jika seorang Cikgu Bard ditahan, akan muncul seribu lagi pejuang.

“Rakyat bukan penjenayah. Rakyat bangkit kerana terdesak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast