BUTTERWORTH – Perselisihan yang tercetus susulan mesej di aplikasi TikTok membawa padah kepada seorang penarik kereta, apabila dia dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana mencederakan seorang tukang gunting rambut.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Aiman Rais Mohd Rosli, 19, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Adha Mohd Tarmizi, 21, di tepi jalan Kampung Contoh di sini, jam 9.30 malam pada 24 Julai lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, siasatan polis mendapati tertuduh telah menyiku pipi kanan mangsa hingga menyebabkan lekukan pada bahagian pipi kanan dalam kejadian berkenaan.

Hasil kawad cam yang dijalankan pada 27 Julai lalu turut mengesahkan tertuduh dikenal pasti oleh mangsa dan saksi sebagai individu yang memukul mangsa tanpa menggunakan sebarang senjata.
Dalam prosiding, pihak pembelaan yang mewakili tertuduh menerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon agar hukuman lebih ringan dikenakan, termasuk mempertimbangkan khidmat masyarakat memandangkan tertuduh adalah pesalah muda.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Marissa Safina Saiful Adli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kecederaan yang dialami mangsa.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN
Dendam mesej di TikTok punca lelaki dipukul depan teman wanita
MalaysiaGazette pada Sabtu lalu melaporkan seorang pekerja penarik kereta direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes memukul seorang tukang gunting rambut di hadapan rumah teman wanitanya di Kampung Contoh, di sini.
Punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara suspek dan teman wanita mangsa di platform media sosial TikTok pada bulan lalu.
Suspek sebelum ini dikatakan pernah menghantar mesej berunsur penghinaan kepada teman wanita mangsa melalui mesej peribadi (DM) selepas wanita itu menyahblok akaunnya.
Mangsa kemudian menghantar mesej menegur tindakan suspek, namun hubungan antara mereka menjadi semakin tegang sebelum suspek terserempak dengan mangsa dan bertindak menyerangnya. – MalaysiaGazette
















