Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kes saman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi berhubung komen berkaitan isu kronisme, kekal didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi.

Perkara itu diputuskan selepas Arziah menolak permohonan menteri berkenaan yang mahukan beliau menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes tersebut.

Dr Dzulkefly mengemukakan permohonan itu ekoran kenyataan Arziah ketika pengurusan kes pada 7 Mac dan 7 April lalu 2025 yang menunjukkan wujud unsur atau persepi berat sebelah berkaitan kes saman berkenaan.

Dr Dzulkefly ketika itu mengemukakan alasan hubungan kekeluargaan yang mana Arziah adalah anak bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi yang dilantik Najib pada tahun 2016 yang dikhuatiri menimbulkan kebimbangan munasabah wujudnya unsur berat sebelah jika beliau mendengar perbicaraan kes.

Mohamed Apandi Ali

Arziah bagaimanapun berpuas hati, Dr. Dzulkefly selaku plaintif gagal membuktikan kewujudan bahaya sebenar berat sebelah yang timbul daripada kenyataannya itu.

Katanya, fakta bahawa beliau adalah anak kepada Mohamed Apandi yang dilantik oleh Najib, walaupun diakui, tidak mewujudkan bahaya sebenar berat sebelah.

“Hubungan antara bapa saya dan defendan (Najib), bukannya antara saya dan mana-mana pihak. Tiada bukti wujudnya sebarang hubungan yang berterusan antara bapa saya dan defendan selain daripada satu penampilan ringkas di mahkamah sebagai saksi pada tahun 2019.

“Bapa saya tidak lagi memegang jawatan Peguam Negara sejak tahun 2018, iaitu tujuh tahun yang lalu. Sebarang kaitan dengan litigasi ini adalah lemah dan bersifat sejarah,” katanya.

Dr Dzulkefly memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi dengan mendakwa Najib telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2020, mengenai isu kronisme berserta satu lampiran paparan artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar wajah plaintif (ketika itu bekas Menteri).

Dakwanya, kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat kerajaan atau swasta.

Plaintif mendakwa, Najib menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaibkannya dan ia adalah bermotifkan politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah serta menjejaskan reputasinya.

Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang Najib selaku defendan atau ejennya meneruskan penerbitan atau menyebarkan hantaran itu dalam sebarang cara.

Plaintif turut memohon perintah supaya defendan membuat permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di akaun Facebooknya dan dihebahkan di akhbar tempatan pilihannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah, selain memohon ganti rugi am, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Najib dalam pernyataan pembelaannya mendakwa hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tiada kaitan dengan Menteri Kesihatan itu.

Najib mendakwa terbitan itu merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH), oleh itu tiada sebarang fitnah telah dibuat terhadap plaintif (Dzulkefly). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast