KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan mencatat kejayaan luar biasa dalam mencapai persetujuan bagi gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Kemboja dan Thailand.
Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia telah memainkan peranan penting dalam menyediakan platform dialog serta membantu meredakan ketegangan yang mengancam kestabilan serantau.
Menurutnya, persetujuan itu bukan sekadar kejayaan diplomatik, malah merupakan penegasan tepat pada masanya terhadap komitmen berterusan ASEAN terhadap penyelesaian konflik secara aman, saling menghormati dan kerjasama serantau.

“Di rantau Asia Tenggara yang saling terhubung ini, keamanan dan kestabilan amat penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan, perdagangan rentas sempadan, pembangunan inklusif dan kemakmuran bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perjanjian bersejarah antara kedua-dua negeri itu dimeterai dalam satu mesyuarat tertutup di Putrajaya semalam melibatkan pertemuan tiga hala antara Anwar: Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Terdahulu, pertempuran di sempadan Thailand dan Kemboja berterusan sejak lima hari berturut-turut ketika kedu-dua negara jiran itu saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain.
Sementara itu, Maszlee berkata, di sebalik perbezaan setiap negara, rantau ASEAN sentiasa dianggap seperti sebuah keluarga besar yang diikat oleh komitmen bersama terhadap keharmonian dan kemajuan bersama.
Ujarnya, setiap kali timbul cabaran antara negara anggota, penyelesaian akan cuba dicapai melalui dialog dan tanggungjawab kolektif.
“Dalam suasana ketidaktentuan global yang semakin meningkat, ASEAN harus terus menjadi contoh bagaimana negara-negara dengan sejarah, sistem dan budaya yang berbeza dapat bekerjasama demi kebaikan bersama,” katanya.
Dalam masa sama, ujar beliau, ASEAN juga mesti berusaha menunjukkan kepada dunia bahawa kerjasama serantau adalah kunci untuk mengharungi cabaran rumit masa kini dan membina masa depan yang lebih aman dan makmur. – MalaysiaGazette
















