Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan asas kepada keyakinan serantau terhadap keupayaan Malaysia sebagai pemudah cara berwibawa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kepimpinan itu bukan datang secara tiba-tiba tetapi lahir daripada prinsip yang konsisten dalam menjunjung nilai kemanusiaan, menghormati maruah bangsa lain dan menjadikan diplomasi sebagai asas kepada penyelesaian konflik.

Tambah beliau, keamanan serantau bukan hanya menyumbang kepada kestabilan geopolitik tetapi juga memberi kesan langsung kepada keharmonian dalam negara, menjadikan sempadan negara lebih selamat, kawalan migrasi lebih tersusun dan keselamatan awam lebih terjamin.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada YAB Perdana Menteri. Kita mesti terus mempertahankan kepimpinan ini – demi Malaysia yang dihormati, ASEAN yang bersatu, dan dunia yang lebih aman,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Semalam, Anwar mengumumkan Thailand dan Kemboja telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan yang memuncak di sepanjang sempadan yang belum dimuktamadkan antara kedua-dua negara.

Keputusan itu dicapai selepas mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN ketika ini yang diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Menurut Saifuddin Nasution, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia bukan sahaja memikul amanah besar untuk memantau pematuhan gencatan senjata tersebut, malah memperlihatkan keupayaan diplomasi berasaskan nilai iaitu rundingan, hormat-menghormati dan penolakan terhadap keganasan sebagaimana teras dalam Piagam ASEAN.

Ujar beliau, KDN sebagai peneraju keselamatan dalam negeri turut memainkan peranan penting dalam aspek pelaksanaan pemantauan, perkongsian maklumat perisikan serantau, serta penyelarasan kawalan sempadan bagi menyokong pelaksanaan gencatan senjata ini secara berkesan.

Tambahnya, melalui kerjasama agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Imigresen; Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), KDN memastikan tiada elemen rentas sempadan seperti penyeludupan senjata, pemerdagangan manusia atau pergerakan kumpulan ekstremis yang boleh menggugat proses damai itu.

“Pada masa yang sama, KDN juga mengukuhkan jaringan kerjasama keselamatan dua hala dan pelbagai hala bersama rakan setara di ASEAN, menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai fasilitator diplomasi, tetapi juga sebagai penyumbang aktif dalam membina ketahanan serantau,” katanya.

Tambah beliau, apa yang berlaku antara Thailand dan Kemboja menunjukkan bahawa ASEAN masih relevan sebagai platform damai dan Malaysia sebagai Pengerusi kini menjadi contoh kepimpinan yang berani, matang dan berkesan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand dan Kemboja atas keberanian mereka memilih jalan damai, serta kepada Presiden AS dan China atas sokongan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast