KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Kangar, Amin Ahmad menyifatkan dalam kebanyakan insiden pelajar memukul guru berpunca daripada sikap berani kerana merasakan mereka dilindungi pihak luar.
Menurutnya, pelajar sebegini sering bertindak samseng di sekolah kerana merasakan mereka mempunyai ‘geng besar’ di luar yang akan membela mereka sekiranya dikenakan tindakan disiplin.
“Biasa yang jenis berani dengan cikgu, pukul cikgu ini sebab dia rasa ada geng besar di luar sekolah. Di sekolah nak jadi pailang (gengster) yang tidak boleh diapakan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Amin mengulas insiden seorang guru ditumbuk pelajar yang berang selepas ditegur guru terbabit kerana ponteng kelas pendidikan jasmani di Kajang petang kelmarin.
Tambahnya, sikap sedemikian tidak seharusnya dibiarkan kerana akan menjejaskan kewibawaan guru serta mencetuskan suasana tidak selamat di institusi pendidikan.
Beliau justeru menggesa pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan tegas agar budaya gangsterisme dalam kalangan pelajar dapat dibendung segera.
Media semalam melaporkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof sebagai berkata, guru lelaki berusia 29 tahun telah membuat laporan berhubung kejadian pada 7.15 malam hari kejadian.
Kejadian yang disaksikan oleh beberapa guru dan pelajar lain turut tular di media sosial.
Naazron juga dilaporkan berkata, pelajar berusia 14 tahun itu ditahan kelmarin di sekitar Kajang dan direman dua hari selain kertas siasatan sudah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan pihaknya mendapat arahan untuk pertuduhan di Mahkamah Kajang hari ini.
Suspek ditahan dan direman sehingga hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan, masing-masing berkaitan kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Jika sabit kesalahan bawah Seksyen 323, suspek boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 506 memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette
















