KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai monyet dan Thailand serta Kemboja sebagai kambing dan biri-biri dilihat sebagai biadab.
Ketua Pemuda Nasional Parti Bangsa Malaysia (PBM), Hanis Asmui berkata, Ahmad Fadhli perlu meminta maaf kerana reaksi seperti itu boleh mengundang masalah hubungan diplomatik negara ASEAN.
“Saya merujuk kepada satu status Ketua Penerangan Pas Pusat berkenaan usaha perdana menteri dalam isu Thailand dan Kemboja.
“Status ini turut memuat naik gambar satira mengandungi monyet menjadi hakim di hadapan biri-biri dan kambing.
“Seharusnya beliau menjadi pembangkang yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Hanis juga berkata, sebagai seorang ahli Parlimen, tindakan sebegitu dilihat tidak wajar meletakkan analogi binatang kepada negara lain.
“Saya bimbang analogi kualtiti rendah ini akan menjadi ketegangan antara negara kita dan negara luar.
“Negara Islam bukan hanya memotong tangan pencuri sahaja dan bukan hanya semata-mata hudud.
“Rasulullah SAW ketika datang ke Madinah, Baginda mempersaudarakan antara Aus dan Khazraj yang telah lama berbalah dan bergaduh.
“Ibrah pengajaran yang dapat diambil dari sirah baginda adalah Islam datang mengharmonikan dua puak yang berbalah sejak sekian lama ini,” ujarnya.
Terdahulu, Ahmad Fadhli menerusi hantaran di Facebooknya telah memuat naik gambaran tiga binatang iaitu biri-biri dan kambing yang sedang berebut pisang dengan seekor monyet bertindak sebagai hakim.
Hantaran tersebut disertakan kapsyen ‘kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang’.
Ia turut disertakan laporan berita mengenai konflik Thailand dan Kemboja.
Selepas menerima kecaman daripada warganet, hantaran itu dilihat sudah dipadam oleh Ahmad Fadhli.
Sebelum itu, Anwar mengumumkan Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bagi meredakan ketegangan yang berlaku selepas mesyuarat khas dipengerusikan beliau di Putrajaya yang dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai. -MalaysiaGazette
















