KUALA LUMPUR – Misi Bantuan Kemanusiaan Karisma (KHOM) berjaya menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikendalikan Tentera Darat Jordan (JAF) melalui pintu masuk Jordan, 28 Julai lalu.
Ini merupakan bantuan pertama sejak penutupan semua laluan masuk ke Palestin oleh Israel pada 2 Mac lalu.

Pengarah Misi, Nik Marina Datuk Hussein, berkata sejumlah 2,400 tan barangan KHOM, berupa kotak-kotak makanan dan susu bayi, dilaporkan telah selamat memasuki Gaza untuk diagihkan kepada penduduk di utara Gaza yang sedang dilanda kebuluran.
Menurut beliau, perkembangan itu dikongsi pihak berkuasa Jordan, bermula dengan komunikasi seawal 26 Julai lalu, yang memaklumkan KHOM telah mendapat pelepasan untuk menghantar bantuan kemanusiaan yang telah dipersiapkan sejak Februari lalu.
Ia sekali gus menjadikan KHOM yang beribu pejabat di Kota Bharu, Kelantan, sebagai NGO pertama Malaysia berhasil menghantar bantuan kemanusiaan dari luar dalam tempoh hampir enam bulan ini, susulan pelepasan diperolehi JAF, melalui pintu masuk King Hussein Bridge.
“Sebanyak 2,400 tan bantuan kemanusiaan berupa kotak-kotak makanan dan susu bayi yang disediakan KHOM hasil sumbangan rakyat Malaysia, namun tersimpan di gudang di Jordan sejak Februari lalu berikutan penutupan sempadan, kemudiannya diserahkan segera kepada JAF.

“Difahamkan, konvoi kemanusiaan merangkumi 60 trak yang dikoordinasi oleh JAF, World Food Programme (WFP). dan World Central Kitchen telah memasuki Gaza pada awal pagi Isnin lalu. Bantuan daripada KHOM adalah antara yang berada di hadapan, dihantar kepada penduduk yang kebuluran,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Nik Marina, bantuan makanan yang amat diperlukan penduduk Gaza itu tidak mungkin dapat diserahkan tanpa sokongan padu dari rakyat Malaysia.
Tembahnya, kesemua amanah itu telah dilaksanakan KHOM dengan menghantar bantuan tersebut dari dalam dan luar Gaza terutama sejak perang pada 7 Oktober 2023 yang berlarutan hingga kini.
“Jeda taktikal di Gaza yang diumumkan Israel yang membuka akses bagi bantuan kemanusiaan, bagaimanapun sangat rapuh. KHOM merayu rakyat Malaysia untuk terus menyumbang kerana sebelum perang pun Gaza memerlukan tidak kurang 1,000 trak makanan sehari, apatah lagi dalam situasi sekritikal sekarang ketika kebuluran dijadikan senjata perang,” katanya lagi.
Sumbangan boleh dibuat kepada KHOM dengan melayari www.khom.org.my.
-MalaysiaGazette
















