KUALA LUMPUR – Seramai empat murid dikenakan tindakan gantung sekolah, manakala 14 murid lain diberi surat amaran susulan kejadian buli di sebuah sekolah yang videonya tular di media sosial sejak semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan tegas itu diambil selepas beliau hadir sendiri ke sekolah berkenaan pagi ini bagi mendapatkan maklumat penuh berhubung kejadian buli tersebut.
Jelas beliau, tindakan itu juga diambil selaras dengan prosedur disiplin yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
“Murid yang digantung sekolah akan mengikuti program khidmat masyarakat bawah kelolaan pejabat pendidikan daerah.
“Sesi kaunseling turut dilaksanakan sebagai intervensi untuk membimbing murid mengubah tingkah laku mereka menerusi penerapan nilai-nilai murni,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, tular video kejadian seorang murid sekolah dipukul oleh murid lain sambil disaksikan beberapa murid dalam kejadian yang dipercayai berlaku di dalam kawasan sekolah.
Kejadian yang dikaitkan dengan sebuah sekolah di ibu negara itu mengundang kemarahan orang ramai khususnya ibu bapa yang mendesak KPM bertindak tegas dalam menangani kejadian buli di sekolah.
Sementara itu, Fadhlina menegaskan, KPM tidak berkompromi dengan isu yang boleh menjejaskan keselamatan institusi pendidikan.
“Langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan bagi memastikan ekosistem selamat dan kesejahteraan warga sekolah secara keseluruhan,” katanya. – MalaysiaGazette
















