AMPANG – Gangguan haiwan berbisa dan longkang tersumbat antara kebimbangan menghantui penduduk menjadi faktor kerja-kerja pembersihan kini dilaksanakan sekitar bangunan kondominium mewah, Highland Towers di Hulu Kelang.
Difahamkan aktiviti membersihkan kawasan bangunan yang berusia lebih lima dekad itu dilaksanakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) susulan aduan yang diterima daripada penduduk sejak sekian lama.
Tinjauan MalaysiaGazette di bangunan yang terletak di lereng bukit dan dikelilingi kehijauan hutan kini kelihatan ‘lapang’ selepas semak samun serta pokok-pokok besar mula ditebang sejak pertengahan Julai lalu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Malah longkang yang dipenuhi tanah, akar pokok dan sampah sarap sudah digali serta dibersihkan bagi memastikan aliran air dari atas bukit lancar tanpa sebarang risiko kepada penduduk.
Bukan itu sahaja, pemasangan kanvas oleh pihak kontraktor di lokasi berisiko iaitu di lereng bukit bagi mengelak kejadian tanah runtuh di kawasan kejiranan di situ.
Malah setiap tingkap di dua blok Highland Tower yang mempunyai 12 tingkat itu turut diletakkan kain kanvas bagi mengelak pencerobohan masuk kawasan tanah persendirian milik Highland Properties Sdn Bhd itu.

Difahamkan, pihak kontraktor terpaksa berhadapan pelbagai cabaran untuk melakukan pembersihan di sekitar bangunan terbiar antaranya haiwan liar berbisa seperti ular tedung dan ular selar.
Malah mereka juga berdepan dengan orang awam yang cuba menceroboh kawasan itu untuk membuat aktivti tidak bermoral dan paranormal bagi meraih tontonan di media sosial walaupun ia sudah ditutupi dengan pintu zink.

Untuk rekod, pada pukul 1.35 petang, 11 Disember 1993 lalu, tragedi berlaku di bangunan Blok 1 Kondominium Highland Towers yang terletak di Taman Hillview, Hulu Klang apabila ia tumbang sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.
Sejak hari berdarah itu, dua lagi blok 12 tingkat yang kelihatan suram dan sepi di siang hari dan menakutkan pada waktu malam masih menyimpan pelbagai kisah misteri yang tidak terungkai sehingga hari ini.
Susulan itu, Datuk Zuraida Kamaruddin semasa memegang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2019 dilaporkan berkata, bangunan terbiar itu akan dirobohkan.
Beliau mencadangkan tapak itu dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi memandangkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak sesuai untuk pembinaan perumahan lagi. – MalaysiaGazette
















