Antara posting Ketua Penerangan Pas, Fadhli Saari berikutan isu karikatur sindiran biadab yang dimuat naik di laman Facebook beliau baru-baru ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 JULAI 2025

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan perbuatan  Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari sebagai tidak berakhlak dan mungkin mempunyai masalah mental susulan hantaran karikatur sindiriannya di media sosialnya baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi parti itu, Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi berkata, ahli Parlimen mewakili Pas tidak sepatutnya membuat kenyataan dengan karikatur seolah-olah menggambarkan dan menyamakan seseorang individua sebagai binatang.

“Apa yang dibuat ini bukan hanya merosakkan namanya sahaja, rosakkan parti Pas tapi juga rosakkan nama Islam kerana mereka ini sering bawa slogan Islam.

“Orang yang buat begini adalah orang yang tidak berakhlak, mempunyai masalah mental mungkin dan saya usulkan (cadangkan) kepada Speaker Dewan Rakyat buat pemeriksaan kesihatan mental kepada terutama kepda ahli Parlimen pembangkang,” katanya selepas mengetuai Biro Mobilisasi Amanah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Baru-baru ini, Ahmad Fadhli dalam hantaran di media sosial memaparkan satu karikatur tiga watak haiwan, kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang sementara seekor monyet bertindak sebagai ‘hakim’.

Hantaran tersebut turut disertakan kapsyen: “Kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang.”

Walau bagaimanapun, hantaran berkenaan telah dipadam selepas menerima kritikan ramai.

Mengulas lanjut, Abbas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang menegaskan, pihak berkuasa perlu menyiasat perkara itu sebagai usaha membendung perbuatan yang berisiko mencetuskan ketidakharmonian dan kebencian dalam negara.

“Inilah saya kira laporan polis ini sangat perlu dan kita minta siasatan dibuat di bawah Akta Hasutan termasuk Seksyen 233, Akta Komunikasi serta tindakan lanjut.

“Saya yakin pihak berkuasa ambil perkara ini sangat serius kerana ia dikeluarkan oleh orang bukan biasa bukan budak-budak tapi Ahli Parlimen macam Fadhli Shari sebagai wakil rakyat bawa imej Islam tidak seharusnya keluarkan kata-kata sebegini rupa,” tegasnya.

Sebagai rekod,  Isnin lalu, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.

Persetujuan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Anwar Ibrahim selaku hos, Pengerusi ASEAN serta saksi kepada rundingan bersejarah itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast