KUALA LUMPUR – Penganjuran Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 yang berlangsung selama tiga hari pada hujung minggu lalu, berjaya meraih anggaran potensi jualan sebanyak RM21.7 juta.
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, HKN 2025 yang diadakan di MITC, Ayer Keroh, Melaka itu turut mencatatkan jumlah jualan koperasi dan usahawan terlibat kira-kira RM1.1 juga.
Tambahnya, prestasi itu menunjukkan impak ekonomi yang signifikan kepada ekosistem koperasi tempatan, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk memperkukuh ekonomi rakyat melalui pemerkasaan model koperasi sebagai pemacu pembangunan akar umbi.
Menurutnya, penganjuran HKN 2025 itu juga berjaya menarik kehadiran luar biasa iaitu seramai 58,114 pengunjung, jauh melepasi sasaran awal sebanyak 50,000 orang.
Ujarnya, jumlah itu sekali gus membuktikan sambutan positif ora ng ramai terhadap usaha kerajaan merakyatkan koperasi menerusi program-program yang menyasarkan komuniti, khususnya kumpulan B40.
“Sementara itu, Program MyFutureJobs On The Go berjaya menarik kehadiran seramai 655 orang, yang telah diberikan akses terus kepada peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor menerusi kerjasama dengan syarikat dan perusahaan yang mengambil bahagian,” katanya.
Tambahnya, perkembangan gerakan koperasi Malaysia terus menunjukkan kemajuan memberangsangkan dengan sebanyak 16,284 koperasi ditubuhkan di seluruh negara melibatkan pelbagai sektor ekonomi.
Katanya, ia melibatkan keanggotaan melebihi 7.2 juta orang atau hampir satu perlima daripada populasi negara kini merupakan anggota koperasi.
“Pencapaian ini turut disokong oleh jumlah perolehan sektor koperasi sebanyak RM68.1 bilion, yang mencerminkan tahap keyakinan dan penerimaan masyarakat terhadap koperasi sebagai platform pembangunan ekonomi yang inklusif dan lestari,” katanya.
Dalam masa sama, tambahnya, aset terkumpul sektor koperasi telah mencecah RM173 bilion, hasil penggembelengan modal syer dan yuran keanggotaan berjumlah RM18.3 bilion pada tahun 2024. – MalaysiaGazette
















