KUALA LUMPUR – Siasatan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir perlu dijalankan secara telus dan menyeluruh dalam tempoh yang munasabah.

Ketua Pergerakan Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datin Zainon Kayum Khan berkata, ia mustahak bagi memastikan keadilan diperjuangkan, dalam masa yang sama memastikan rakyat tetap percaya dengan sistem perundangan dan keselamatan dalam negara.

Tambah beliau, meskipun menghormati siasatan yang dijalankan pihak berkuasa namun ibu bapa remaja tersebut berhak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

“Kita boleh tenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan, tetapi itu tidak bermakna kita akan membiarkan isu ini berlalu begitu sahaja.

“Tindakan yang tegas dan adil perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai atau bersalah,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, susulan kejadian tragis itu, masyarakat terutama golongan ibu bapa semakin bimbang dengan keselamatan anak-anak di sekolah dan institusi pendidikan.

“Wanita PBRS turut memandang serius aspek keselamatan pelajar, sama ada di sekolah, institusi pengajian tinggi mahupun ketika dalam jagaan pihak berkuasa.

“Kes kematian semasa dalam tahanan adalah isu berat yang tidak boleh dipandang ringan atau dianggap sebagai kes terpencil. Ia menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat umum,” tambah beliau.

Ujar Zainon, PBRS akan terus memantau rapat perkembangan kes ini dan mendesak agar keadilan untuk arwah Zara Qairina tidak ditangguh atau didiamkan.

Selepas lebih 10 hari Zara Qairina, 13, didakwa jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada 16 Julai lalu, punca sebenar kes yang turut dikaitkan dengan insiden buli, masih belum terungkai.

Kes terbabit menjadi tular dalam laman media sosial dalam tempoh singkat sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), selain pempengaruh serta orang awam.

Setakat ini belum ada perkembangan lanjut atau sebarang perincian kronologi kes secara rasmi dilaporkan mana-mana pihak berkaitan termasuk siasatan pihak berkuasa.

Kes terbabit menjadi lebih tular apabila pengguna Facebook dengan nama akaun Syira Leizel Janice Abdullah yang mendakwa sebagai keluarga arwah Zara memuat naik hantaran kronologi kes daripada naratif keluarga.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast