KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa tidak berlengah dan segera mengambil tindakan menaikkan cukai ke atas cecair rokok elektronik (vape) bernikotin sebagai langkah awal dalam menangani peningkatan penggunaannya dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan, isu berkenaan perlu ditangani secara serius tanpa perlu menunggu keputusan muktamad untuk terus mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualannya.
“Saya mendengar dengan teliti jawapan yang diberikan oleh Menteri Kesihatan semasa perbahasan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025 semalam.
“Ramai Ahli Dewan turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dalam kalangan rakyat, khususnya golongan muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Saiful berkata, beliau memahami pihak Kementerian Kesihatan sedang meneliti cadangan pengharaman vape secara menyeluruh, namun menegaskan tindakan segera perlu diambil sementara menunggu proses itu dimuktamadkan.
“Dalam mempertimbang pengharaman vape, kerajaan perlu mengambil kira larangan total sering membawa kepada kewujudan pasaran gelap yang sukar dikawal jika tiada penguatkuasaan yang benar-benar berkesan,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk segera menaikkan cukai ke atas cecair vape bernikotin supaya selari dengan kadar cukai rokok, bagi memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan.
“Ketika ini, cecair nikotin hanya dikenakan cukai sebanyak 40 sen bagi setiap mililiter, sedangkan rokok dikenakan cukai sebanyak RM8 bagi setiap kotak. Berdasarkan perkiraan mudah, penggunaan dua mililiter cecair vape bernikotin mengandungi hampir sama jumlah nikotin dengan sekotak rokok.
“Namun, cukai yang dikenakan ke atas vape hanyalah sekitar 10 peratus daripada cukai rokok, satu jurang yang ketara,” jelasnya.
Katanya lagi, perbezaan harga yang begitu besar menyebabkan ramai pengguna memilih vape kerana lebih murah dan lebih mampu milik.
“Jika kerajaan benar-benar serius mahu membendung penggunaan vape, menaikkan cukai adalah langkah segera yang mudah dilaksanakan dengan syarat adanya kemahuan politik,” ujarnya.
Katanya lagi, kerajaan tidak boleh terus berdolak-dalik dan perlu segera mengumumkan kenaikan cukai ke atas cecair vape nikotin sebagai tindakan paling wajar dan pantas.
Dalam pada itu, Wan Saiful turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan harga minimum bagi produk vape, sepertimana yang telah dilaksanakan terhadap rokok.
“Harga minimum ini wajar ditetapkan sekurang-kurangnya pada paras RM12 dan keseluruhan struktur harga perlu dipautkan kepada kadar kenaikan duti eksais dari semasa ke semasa.
“Ini penting bagi memastikan kesaksamaan cukai dan tahap kemampuan harga yang sesuai dengan niat untuk mengurangkan atau mencegah penggunaannya,” katanya.
Beliau menambah, sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas tanpa menunggu pengharaman penuh sebaliknya, menyaksamakan cukai dan memperkenalkan harga minimum adalah langkah yang boleh diambil serta-merta.
Jelas beliau, ini merupakan langkah realistik segera dan paling berkesan untuk melindungi kesihatan awam terutamanya dalam kalangan generasi muda. – MalaysiaGazette
















