Surat palsu yang dikesan disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab - Foto Ihsan JIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihaknya terlibat dalam permohonan sumbangan bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang kononnya melibatkan 500 anak yatim.

Penafian itu dibuat susulan penularan satu surat dan resit bayaran yang menggunakan nama serta logo JIM, dengan meminta sumbangan daripada orang awam, khususnya para peniaga, bagi menjayakan program tersebut.

“Untuk makluman, JIM Johor menafikan ada mengeluarkan permohonan berkaitan sumbangan serta resit pembayaran secara bertulis.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang mesej yang diterima melalui sistem pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp, Telegram, WeChat atau panggilan telefon berkaitan permintaan sumbangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah agensi itu, pihaknya juga menyeru mana-mana individu yang telah membuat sebarang transaksi atau bayaran berkaitan sindiket penipuan ini agar segera tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Penggunaan lambang rasmi dan nama jabatan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Pihak kami memandang serius penyebaran maklumat palsu seperti ini kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” jelas kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast