KUALA LUMPUR – Kedah FA mengumumkan kemasukan bekas pertahanan Terengganu FC, Pape Diakite sebagai pemain import ketiga musim ini bagi melengkapkan kuota pemain import bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro 2025.
Pengumuman kemasukan pemain pertahanan berusia 32 tahun dari Senegal itu dibuatĀ di Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini.
Sebelum ini, skuad kendalian Victor Andrag mengesahkan dua import iaitu Yakubu Abubakar dan Adam Azeez Arisekola.
“Diakite mempunyai fizikal yang mantap dengan ketinggian 1.94 meter serta rekod permainan yang luas di peringkat antarabangsa dan nama beliau pernah mewarnai pentas Liga Malaysia apabila menyarung jersi Terengganu FC dalam kempen Liga Super 2022.
“Ketika bersama kelab dari Pantai Timur itu, beliau mencatat 19 penampilan bagi membantu pasukan muncul naib juara Liga Super, mara ke final Piala FA dan separuh akhir Piala Malaysia.
“Dengan pengalaman luas beraksi di liga-liga kompetitif termasuk kejohanan peringkat AFC, Diakite diyakini mampu memperkukuh benteng pertahanan Kedah FA, selain menjadi watak penting dalam membimbing barisan pertahanan musim ini,” tulisnya.
Kemasukan Diakite dilihat bakal menambah kekuatan di bahagian benteng bersama beberapa pemain pertahanan antaranya Namathevan Arunasalam, Aiman Farhan, Kamil Akmal dan Safwan Shuhaimi.
Dalam perkembangan yang sama, ketiga-tiga tonggak import berkenaan dilihat sudah menjalani latihan bersama pasukan di Stadium Darul Aman semalam sebagai persiapan menentang pasukan Perlis GSA FC untuk saingan pertama Liga A1 Semi Pro yang akan berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette
















