Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan tujuh yang lain memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar peraturan yang mewajibkan kemudahan jagaan kesihatan swasta mempamerkan harga ubat-ubatan.

Selain MMA, tujuh pemohon lain ialah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sabah (APPS), Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dan Antara Disiplin Malaysia (MAAFIM), Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) dan Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM).

Turut memohon, Persatuan Pengamal Pergigian Swasta Malaysia (MPDPA), Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak (SPMPS) dan seorang pengamal perubatan yang mengendalikan klinik di Lahad Datu, Sabah, Dr. Saifulbahri Ahmad @ Mohd Zailani.

Semua pihak yang dinamakan dalam permohonan itu mewakili pertubuhan masing-masing iaitu Setiausaha Agung Kehormat MMA, Dr Vasu Pillai Letchumanan; Presiden APPS, Dr Deva Das Pathiyil Ramankutty; Naib Presiden MAAFIM, Dr Narjit Singh Harbans Singh; Pengerusi Perdim, Dr Bol Saidi @ Nas Saiyidi Abdul Razak; Presiden FPMPAM, Dr Shanmuganathan TV Ganeson.

Naib Bendahari MPDPA, Dr Mahendran Ponnudurai; Setiausaha SPMPS, Dr Tan Cheow Hwa dan Dr Saifulbahri.

Berdasarkan kepada permohonan yang difailkan menerusi firma guaman Tetuan Ngeow Law Practice pada 25 Julai lalu, mereka menamakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Menteri Kesihatan (KKM) dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga ketiga.

Mereka memohon kebenaran bagi mendapatkan perintah untuk membatalkan keputusan KPDN bertarikh 29 April lalu (yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 30 April 2025).

Keputusan berkenaan untuk membuat Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga bagi Ubat) 2025, yang digubal di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-
Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) (Perintah Yang Dipertikaikan).

Sebagai alternatif, mereka memohon membatalkan perintah yang dipertikaikan itu setakat mana ia terpakai dan merujuk kepada kemudahan jagaan kesihatan swasta.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa perintah yang dibuat oleh KPDN adalah cacat atas alasan tidak sah dari segi undang-undang, tidak rasional dan tidak munasabah, tidak seimbang serta tidak teratur dari segi prosedur.

Sebagai alternatif, pemohon memohon perisytiharan bahawa perintah terbabit tidak terpakai kepada kemudahan jagaan kesihatan swasta dan pengamal perubatan serta doktor pergigian berdaftar.

Turut dipohon, supaya perintah berkenaan ditangguhkan sehingga Mahkamah Tinggi mendengar dan memutuskan permohonan semakan kehakiman terbabit.

Perintah itu yang mewajibkan kemudahan penjagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti memaparkan harga runcit ubat, kini dalam tempoh kelonggaran penguatkuasaan yang dijadualkan tamat, esok (31 Julai).

Pada 4 Mei lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan tiada denda atau kompaun akan dikenakan terhadap farmasi dan klinik swasta dalam tempoh tiga bulan sekiranya gagal melaksanakan pemaparan ubat kerana tumpuan KKM adalah pada aspek pendidikan terlebih dahulu.

Setakat ini, KPDN mahupun KKM belum mengumumkan sebarang lanjutan kepada tempoh kelonggaran selama tiga bulan yang berakhir esok.

Menurut pemohon, jika pendakwaan jenayah dimulakan terhadap pengamal perubatan dan perintah itu kemudiannya dibatalkan oleh mahkamah, ia akan menyebabkan kos yang ditanggung, kerosakan, dana awam yang digunakan dan denda yang telah dibayar tidak dapat dipulihkan.

Mereka menyatakan, responden tidak akan diprejudiskan kerana tiada keperluan mendesak bagi pelaksanaan perintah itu, lebih-lebih lagi keputusan untuk melaksanakannya sudah ditangguhkan beberapa kali.

Dalam permohonan berkenaan, semua pemohon diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au.

Mahkamah Tinggi menetapkan pengurusan kes kebenaran semakan kehakiman berkenaan pada 22 Ogos ini.

Sementara itu, antara alasan yang dikemukakan dalam permohonan itu ialah, perintah yang diperikaikan khususnya berkaitan dengan pemakaiannya terhadap fasiliti penjagaan swasta, adalah tidak sah kerana ia dibuat melangkaui kuasa dan bidang kuasa KPDN.

Pemohon menyatakan, ini kerana Seksyen 10 AKHAP 2011 tidak terpakai terhadap bahan racun yang diberi oleh pengamal perubatan berdaftar dalam konteks rawatan sebagaimana dibenarkan di bawah seksyen 19 Akta Racun 1952.

“Pelaksanaan perintah ke atas kemudahan jagaan kesihatan swasta di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 secara sembarangan merangkumi klinik perubatan dan pergigian yang dikendalikan pengamal perubatan dan doktor pergigian berdaftar, yang mana tidak boleh dianggap sebagai membekalkan `barangan atau perkhidmatan’ dalam pengertian Seksyen 10 AKHAP 2011.

“Perenggan 3 perintah itu secara silap mengandaikan bahawa kemudahan jagaan kesihatan swasta (yang termasuk klinik perubatan dan pergigian) menjalankan perniagaan `membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan’ ubat-ubatan sebagaimana yang dimaksudkan di bawah AKHAP 2011.

“Akta induk yang memberi kuasa kepada perintah itu, tidak terpakai terhadap penjualan, pembekalan dan pentadbiran bahan racun oleh golongan profesional bagi tujuan rawatan perubatan dan pergigian seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 19 Akta Racun 1952.

“Apabila maksud dan objektif AKHAP 2011, iaitu akta induk yang memberi kuasa kepada perintah berkenaan dikaji dan ditafsirkan dalam konteks yang sewajarnya, jelas bahawa ia hanya memberi kuasa kepada KPDN untuk mengawal harga barang dan caj
perkhidmatan,” katanya.

Pemohon berkata, pelaksanaan rawatan perubatan dan pergigian oleh golongan profesional bukanlah penjualan barang atau pembekalan perkhidmatan dalam konteks AKHAP 2011.

Menurut pemohon, sehubungan itu, caj untuk rawatan perubatan, termasuk pemberian ubat, bukanlah `harga ubat-ubat’ tetapi adalah sebahagian yuran perkhidmatan profesional. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast