KAJANG – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang guru dalam kejadian yang berlaku di sebuah sekolah menengah, kelmarin.
Pengakuan itu direkodkan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin.
Berdasarkan pertuduhan, pelajar tingkatan peralihan itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah di sini kira-kira jam 4.48 petang, Isnin lalu.
Kes dikemukakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin atas alasan kes itu serius dan telah mencetuskan perhatian umum selepas tular di media sosial.
Namun, pihak pembelaan merayu agar jumlah jaminan direndahkan memandangkan tertuduh masih bersekolah dan merupakan pesalah juvana.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 11 September depan bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.
Prosiding dijalankan secara tertutup memandangkan tertuduh masih di bawah umur dan pengamal media tidak dibenarkan berada dalam kamar mahkamah.
Remaja berkenaan turut ditemani kedua ibu bapanya sepanjang prosiding berlangsung.
Dia diwakili peguam, S. Priyalatha.
Ibu tertuduh yang ditemui di perkarangan mahkamah berkata, anak tunggalnya tinggal bersamanya selepas dia berpisah dengan suami.
Menurut wanita berusia 40-an itu, tertuduh telah meluahkan rasa kesal serta meminta maaf atas tindakannya terhadap guru berkenaan.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar lelaki ditahan selepas seorang guru berusia 29 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian ugutan dan serangan fizikal di sekolah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan, pelajar itu juga telah mengugut guru berkenaan sebelum ditahan dan direman selama dua hari.
Selain Seksyen 323, kes turut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















