JOHOR BAHRU – Sebanyak 89,292 premis dikesan masih tertunggak untuk membayar cukai harta berjumlah RM214.1 juta dari awal tahun hingga 30 Jun lalu.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, setakat ini Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hanya berjaya mengutip RM43.1 juta cukai harta bagi tempoh berkenaan.
“Bagi melancarkan kutipan cukai ini satu pasukan khas yang ditubuhkan MBJB terdiri daripada 200 warga kerjanya akan menjalankan pertemuan secara terus dengan pemilik harta yang dikenal pasti mempunyai tunggakan.
“Mereka akan bertindak sebagai ejen cukai harta MBJB dan akan dibekalkan dengan kad kuasa rasmi dan dokumen pengenalan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBJB di Menara MBJB di sini hari ini.
Katanya, ejen berkenaan tidak akan meminta wang sebaliknya hanya memberikan nasihat dan garis panduan untuk penyelesaian tunggakan.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya sekiranya ada pihak lain atau scammer meminta bayaran mendakwa mewakili pihak MBJB untuk mengutip tunggakan cukai terbabit.
“Sebagai permulaan kita akan bagi bil tunggakan terlebih dahulu kepada mereka. Kemudian kita akan bagi notis dan dalam tempoh 14 hari mereka perlu menjelaskan tunggakan cukai terbabit,” katanya.
Jelasnya, selepas tamat tempoh penyerahan notis tersebut dan peringatan lanjut diberikan serta beberapa prosedur lain dilakukan, pihak MBJB akan melelong barang-barang dalam rumah terbabit jika rumah berkenaan tidak kosong.
Sekiranya rumah berkenaan kosong katanya, premis berkenaan dilelong dan hasilnya akan digunakan untuk membayar tunggakan cukai manakala bakinya diserahkan kepada pemiliknya.
Beliau berkata, pintu rundingan sentiasa terbuka untuk pihak yang ingin menjelaskan tunggakan cukai secara ansuran menerusi Jabatan Penilaian MBJB.
“Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan tindakan undang-undang diambil oleh pihak berkuasa,” katanya.- MalaysiaGazette















