KUALA LUMPUR – Usaha pendamaian antara Kemboja dan Thailand semakin menampakkan hasil meskipun terdapat beberapa insiden yang mencabar dalam proses tersebut, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara tersebut dibincangkan oleh beliau Bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. menerusi panggil telefon sebaik sahaja tiba dari Jakarta malam tadi.
Menurut Anwar, Malaysia menghargai sumbangan konstruktif kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat serta rakan-rakan ASEAN dalam menjayakan rundingan ini.
“ASEAN perlu terus kekal bersatu, berprinsip dan berpaksikan dialog dalam mendepani tantangan serantau dan global,” kata beliau.
Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat pada 28 Julai lalu bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikai, hasil mesyuarat khas dipengerusikan beliau di Putrajaya.
Mesyuarat yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya dengan Anwar sebagai pengantara menyaksikan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai mencapai kata sepakat berhubung pelaksanaan gencatan senjata itu.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja memuncak sejak 28 Mei lalu susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Konflik terbaru tercetus pada 24 Julai lalu dengan beberapa insiden pertempuran dilaporkan di kawasan sempadan di utara Kemboja yang mengakibatkan korban jiwa di kedua-dua pihak.
Semalam, Bahagian Perisikan Pertahanan dan Komunikasi Strategik Markas ATM berkata, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Mohd Nizam Jaffar mengetuai delegasi diplomatik ke Thailand dan Kemboja bagi memudah cara perbincangan susulan persetujuan kedua-dua negara untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.
Gencatan senjata itu, berkuat kuasa pada tengah malam 28 Julai lalu, dipersetujui semasa mesyuarat khas anjuran Malaysia yang membawa kedua-dua negara berjiran di Asia Tenggara itu ke meja rundingan, susulan ketegangan yang semakin memuncak.
Selain isu Thailand dan Kemboja, Anwar berkata, perbualan mereka turut menyentuh perkembangan semasa di rantau ini, termasuk lawatan Marcos Jr ke Amerika Syarikat serta peranan penting ASEAN dalam memperkukuh kerjasama serantau. – MalaysiaGazette
















