Gambar hiasan

SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengeluarkan 243 saman kepada penumpang bas persiaran dan ekspres yang tidak memakai tali pinggang keledar sepanjang operasi khas bagi tempoh sebulan mulai 1 Julai lepas.

Pengarahnya Hanif Yusabra Yusuf berkata daripada jumlah itu, 72 kes membabitkan warga tempatan dan 171 kes melibatkan warga asing.

Beliau berkata sebanyak 64 saman bagi kesalahan sama turut dikeluarkan kepada penumpang semasa pemeriksaan mengejut terhadap bas di Kawasan Rawat & Rehat (R&R) serta Hentian Sebelah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

“Selain itu, dalam operasi itu juga, 92 bas dinaiki oleh anggota JPJ yang membuat penyamaran bagi meningkatkan persepsi untuk ditangkap (POBC) kepada pemandu dan juga penumpang bas.

“Bagaimanapun, masih ada penumpang bas yang mengabaikan aspek keselamatan dengan melanggar peraturan pemakaian tali pinggang keledar seperti yang telah ditetapkan dalam undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menasihati pemandu dan penumpang kenderaan supaya sentiasa mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar bagi tujuan keselamatan dan penguatkuasaan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan tahap kesedaran dan pematuhan meningkat dari semasa ke semasa.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast