KUALA LUMPUR – Empat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas, (Golden Triangle) Laos, akhirnya berjaya diselamatkan selepas hampir sebulan ditahan sebagai tebusan oleh kumpulan penjenayah.
Kesemua mangsa, lelaki dijangka tiba di tanah air malam ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas usaha bersepadu dilakukan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama pihak berkuasa Laos, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, keempat-empat mangsa berasal dari Rasa, Selangor, dan pada awalnya diperdaya seorang ejen yang menjanjikan mereka pekerjaan bergaji lumayan di sebuah kasino di Laos.
“Sebaik tiba di Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas, mereka bukan sahaja tidak diberikan pekerjaan seperti dijanjikan, malah dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ dalam sindiket penipuan dalam talian.
“Mereka kemudiannya dijual kepada sindiket lain, dan apabila ejen yang membawa mereka melarikan diri bersama wang kira-kira AS$900,000 (RM3.8 juta), mangsa dijadikan sebagai tebusan.
“Sindiket tersebut menuntut wang itu dipulangkan sebagai syarat untuk membebaskan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Hishamuddin, MHO menghantar wakil khas ke Laos dan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk pihak kedutaan Malaysia di Vientiane, bagi memastikan pembebasan keempat-empat mangsa.
“Kami memberi tekanan kepada pihak kedutaan dan juga pihak berkuasa tempatan untuk mempercepatkan proses pembebasan. Akhirnya, pihak polis di kawasan terbabit bersetuju untuk melepaskan mangsa.
“Untuk makluman, pasukan keselamatan di kawasan Segi Tiga Emas bukanlah sepenuhnya dikawal oleh kerajaan Laos, tetapi terdiri daripada pasukan keselamatan swasta kerana kawasan itu dipajak,” jelasnya.
Pada 9 Julai lalu, MHO telah mengadakan sidang media mendedahkan kes ini, di mana keempat-empat rakyat Malaysia berkenaan ditahan selepas ejen yang membawa mereka dipercayai melarikan wang berjumlah hampir AS$900,000.
Hishamuddin menegaskan, kes seperti ini perlu menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pekerjaan di luar negara, khususnya di kawasan berisiko tinggi yang sering menjadi sarang sindiket penipuan.
“Jangan mudah percaya dengan iklan atau tawaran kerja yang menjanjikan gaji lumayan di luar negara. Siasat dahulu latar belakang ejen, dapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa seperti Kementerian Luar Negeri atau agensi pekerjaan berlesen. Jika tawaran itu terlalu baik untuk dipercayai, biasanya ia perangkap,” katanya.
Beliau turut menasihatkan keluarga yang mempunyai ahli bekerja di luar negara supaya sentiasa berhubung dengan mereka dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada tanda-tanda mencurigakan.
Keempat-empat mangsa kini dalam proses dokumentasi akhir sebelum diterbangkan pulang dan dijangka tiba di Malaysia malam ini. – MalaysiaGazette
















