KUALA LUMPUR – Sebanyak 95.6 peratus graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lepasan program berkenaan juga menikmati pendapatan yang semakin kompetitif dengan kebanyakannya melebihi paras gaji minimum RM1,700.
“Sebanyak 95.6 peratus graduan TVET berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, tahun lalu seramai 212,000 kemasukan baharu ke dalam program TVET direkodkan.
Sehubungan itu beliau memberi jaminan program TVET akan diperkasa bagi meningkatkan penguasaan kemahiran yang boleh menjana pendapatan lebih tinggi.
Jelas Anwar, tahap pensijilan TVET akan ditingkatkan dengan memperkenalkan tiga tahap kepakaran baharu, 6 hingga 8, agar setara dengan tahap kelayakan pengajian tinggi di bawah Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
“Ikhtiar ini bertujuan memperakui kemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan memperluas laluan kerjaya, selaras dengan keperluan pasaran,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















