Hee Sem melihat keadaan sekitar asrama yang dipenuhi longgokan Sampath.

MELAKA – Sudahlah dapur disediakan kotor, jamban pula berlumut selain terpaksa mandi ditempat terbuka bercampur lelaki dan wanita sejak tiga tahun lalu.

Itu keadaan daif terpaksa dihadapi 190 pekerja warga asing yang mendiami asrama sebuah tapak pembinaan di Tambak Paya, di sini susulan kegagalan majikan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, serbuan diketuai sepasukan penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Melaka itu turut mendapati pekerja terpaksa tidur di atas tilam nipis, selain tiada almari berkunci.

Keadaan tempat mandi yang terbuka

 

“Saya kecewa lihat tempat mandi yang terbuka kerana di sini ada pekerja lelaki dan wanita malah tempat buang air besar juga sangat kotor dan daif diselaputi lumut.

“Ruang dapur yang tertutup juga kotor selain sampah dilonggokkan di satu kawasan sekali gus menyumbang kepada risiko pembiakan nyamuk Aedes dan peningkatan kes demam denggi,” katanya.

Hee Sem melihat keadaan tandas asrama pekerja yang berlumut

 

Hee Sem berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Akta 446 di sebuah tapak pembinaan di Tambak Paya, di sini hari ini bersama Pengarah JTK Melaka, Naziyah Said.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, majikan terbabit sebelum ini pernah mengemukakan permohonan pengiktirafan penginapan pekerja di bawah Seksyen 24D Akta 446 untuk dua blok kabin itu, namun ditolak kerana tidak memenuhi standard minimum.

“Pemeriksaan turut mendapati beberapa kesalahan lain seperti premis makanan dan kedai runcit beroperasi tanpa lesen serta dua kawasan pembiakan nyamuk yang dikenakan tindakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri.

“Dalam operasi hari ini, JTK mengeluarkan 94 kompaun atas kesalahan tiada perakuan penginapan atau gagal patuhi peraturan seperti tilam, katil, almari kepada pekerja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast