DATUK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang membangunkan Dasar Pembangunan Orang Asli (DPOA) yang lebih komprehensif dan inklusif bagi memastikan kemajuan komuniti itu setanding dengan masyarakat arus perdana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar itu sedang dirangka dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) yang akan diselaraskan dengan hala tuju semasa seperti Malaysia Madani dan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB).

Katanya, ia selaras dengan komitmen negara bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta United Nations Declaration On the Rights of Indigenous Peoples (UNDRIP) yang diratifikasi negara sejak tahun 2007.

“Pembangunan dasar ini sendiri mencerminkan komitmen Kerajaan untuk meletakkan asas kepada pemerkasaan orang asli agar setanding dengan masyarakat orang asal di negara lain melalui tujuh fokus strategi iaitu tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan di mana pelaksanaannya adalah berdasarkan prinsip tanpa paksaan.

“Bagi mencapai tujuan ini, kerajaan turut berhasrat mengkaji kesesuaian untuk
mewujudkan Majlis Penasihat Orang Asli berdasarkan model New Zealand Maori Council
(NZMC) yang dilihat berjaya mempromosikan pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan
dan budaya Maori.

“Melalui penubuhan majlis ini, kerajaan berharap agar suara dan aspirasi masyarakat Orang Asli dalam menentukan hala tuju pembangunan mereka sendiri akan lebih diperkukuhkan melalui kerangka perundangan selaras dengan keazaman kendiri yang menjadi prinsip utama seperti mana digariskan di bawah UNDRIP,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkenaan pemerkasaan masyarakat orang asli pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sebelum Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan sedang dalam tindakan untuk meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang mana akta itu tidak pernah dibuat apa-apa pindaan sejak berkuat kuasa pada 1954.

Bagi tujuan tersebut katanya, kajian semakan pindaan akta itu sedang dilaksanakan bagi memperhalusi dan mengkaji semula peruntukan semasa dalam Akta 134 secara menyeluruh serta mengenal pasti jurang dalam pelaksanaannya.

“Berdasarkan hasil dapatan awalan kajian dan juga sesi libat urus berhubung pindaan akta ini, beberapa perkara dan isu yang telah dikenalpasti berkaitan masyarakat Orang Asli yang memerlukan pindaan sewajarnya bagi memastikan perlindungan hak dan kemajuan komuniti Orang Asli terus terjamin.

“Antaranya adalah seperti hal berkaitan tanah termasuk tanah adat; hal ehwal kebajikan orang asli; pengurusan perkahwinan adat dan tadbir urus kepimpinan tradisi masyarakat orang asli,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast