KUALA LUMPUR – Konon dijanjikan bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia namun akhirnya seorang wanita warga India dipaksa menjadi pelacur di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini..
Bagaimanapun, nasib malang wanita berusia 39 tahun berakhir apabila dia diselamatkan dalam serbuan Op Noda oleh Bahagian D3 Atipsom Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, semalam.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, siasatan mendapati mangsa tiba di Malaysia pada 11 Julai lalu dari Tiruchi, India dan djanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah.
“Mangsa dibawa ke sebuah hotel di Jalan Ampang dan dikurung di dalam sebuah bilik sebelum dipukul seorang lelaki warga India serta dipaksa untuk melibatkan diri dalam kegiatan pelacuran.
“Susulan itu, suspek berusia 41 tahun ditahan dan mengaku dia melakukan aktiviti persundalan ke atas mangsa yang ditawarkan antara RM50 hingga RM60 untuk sekali perkhidmatan seks,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Usuf menambah, pihaknya turut menahan tujuh lelaki dan lima wanita warga India berusia 21 hingga 43 tahun di lokasi itu menerusi serbuan jam 8.30 malam.
“Mereka ditahan terdiri pelacur, ulat pelacuran, penjaga kaunter serta pelanggan dan modus operandi digunakan iaitu tawar-menawar di kaki lima hotel.
“Sasaran adalah pelanggan warga asing seperti Bangladesh, Nepal serta India dan sekiranya bersetuju, mereka akan dibawa ke hotel untuk memilih pelacur yang dipandu arah penjaga premis,” jelasnya.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas kondom, buku catitan pelanggan, tisu dan wang tunai berjumlah RM267.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 372B KK, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12 ATIPSOM 2007,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















