KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) menganjurkan Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) sempena Hari Peneroka FELDA 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
FGV dalam kenyataan memaklumkan, MK3D adalah hasil kerjasama antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Menurut FGV, ia memperlihatkan komitmen berterusan syarikat itu dalam memperkasa peneroka FELDA, menyokong agenda luar bandar dan menyerlahkan potensi industri sawit Malaysia di peringkat global.
Majlis pelancaran Festival FGV 2025 disempurnakan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan disaksikan Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman serta barisan ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan Kumpulan FGV.
Menerusi kenyataan sama Fakhrunniam berkata, Festival FGV 2025 amat dekat di hati mereka kerana ia mengumpulkan usaha, semangat dan sumbangan luar biasa peneroka serta pekebun kecil yang menjadi tulang belakang kepada FGV.
Mereka menyumbang lebih 70 peratus bekalan Buah Tandan Segar (BTS) ke kilang-kilang FGV yang menjadi asas kepada kejayaan syarikat.
Katanya, festival berkenaan bukan sahaja untuk menghargai peneroka FELDA, sebaliknya sebagai platform untuk menonjolkan peranan besar FGV dalam industri sawit negara serta mengetengahkan manfaat dan kepelbagaian produk berasaskan sawit.
Festival berkenaan seiring dengan tema MK3D “Desaku Mendunia”, yang menunjukkan keyakinan dan sokongan terhadap daya juang dan potensi industri desa untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Pada acara yang sama, FGV turut melancarkan aplikasi permainan mudah alih pertama di dunia, FGV Edugames.
Permainan itu memberi tumpuan kepada dunia pertanian sawit lestari serta impak alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) secara interaktif.
“Kami melihat FGV Edugames sebagai cara mesra dan relevan untuk mendekatkan generasi muda dengan dunia agrikomoditi. Ini bukan sahaja mempercepat adaptasi digital, tetapi juga membuka ruang untuk mereka memahami kelestarian dan tanggungjawab sosial secara menyeronokkan,” ujarnya.
FGV Edugames itu turut menawarkan permainan seperti Weevil Hero, Ladang Defence dan Waste to Wealth yang memperkenalkan elemen kelestarian, biodiversiti serta ekonomi kitaran dengan pendekatan yang lebih kreatif.
Aplikasi berkenaan dibangunkan sepenuhnya oleh FGV dan boleh dimuat turun di App Store dan Google Play di seluruh dunia.
Antara tarikan utama Festival FGV tahun ini ialah pameran inovasi dan teknologi moden dalam sektor agrokomoditi yang menampilkan inisiatif FGV dalam automasi, pendigitalan dan tenaga boleh diperbaharui. – MalaysiaGazette
















