Dominic Lau

 

KUALA LUMPUR Kerajaan perlu mempertimbangkan secara serius untuk menjadikan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai sebuah agensi bebas yang tidak lagi diletakkan di bawah kawalan kerajaan atau Kementerian Kewangan.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan LHDN dapat beroperasi tanpa campur tangan politik dan berlandaskan undang-undang sepenuhnya.

“Gerakan yakin jika institusi-institusi ini dapat beroperasi tanpa sebarang campur tangan politik, tahap kredibiliti serta kebebasan mereka akan lebih terserlah.

“Secara tidak langsung, rakyat akan lebih yakin terhadap institusi-institusi ini dan persepsi bahawa ia digunakan sebagai alat politik akan dapat dihapuskan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dominic merujuk kepada amalan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang mana agensi percukaian mereka beroperasi secara bebas dan dilindungi undang-undang daripada pengaruh politik.

“Di Amerika Syarikat contohnya, walaupun presiden memiliki kuasa besar, beliau tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan Internal Revenue Service (IRS) yang diletakkan di bawah seliaan terus Kongres dan bukan di bawah mana-mana menteri atau presiden,” katanya.

Mengulas lanjut, Dominic menegaskan institusi seperti Polis Diraja Malaysia, Badan Kehakiman, Angkatan Tentera Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara juga seharusnya bebas daripada kawalan eksekutif dan diletakkan di bawah pengawasan Parlimen.

Katanya, pelantikan ke jawatan tinggi serta operasi harian agensi-agensi itu harus bersifat autonomi sepenuhnya bagi mengelak persepsi negatif dan dakwaan salah guna kuasa.

Beliau turut menekankan, sekiranya Kerajaan Perpaduan benar-benar berhasrat untuk membina sebuah negara yang adil dan telus, maka institusi penting seperti LHDN perlu dijadikan badan bebas.

“Sebagai contoh, Kementerian Kewangan lazimnya menetapkan sasaran kutipan cukai tahunan untuk LHDN. Dalam usaha mencapai sasaran tersebut, LHDN mungkin terpaksa mengambil pendekatan yang menekan rakyat semata-mata bagi memastikan prestasi tidak kelihatan gagal,” ujarnya.

Dominic turut menegaskan, kutipan cukai perlu dilakukan berdasarkan undang-undang dan jangkaan prestasi ekonomi negara, bukannya kehendak politik.

“Sekiranya kerajaan benar-benar tidak mahu melihat campur tangan atau penyalahgunaan kuasa cukai berlaku pada masa hadapan demi kepentingan tertentu, maka menjadikan institusi-institusi ini bebas adalah langkah paling wajar,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya segera merangka pelan lengkap bagi melaksanakan reformasi institusi secara menyeluruh, selaras dengan janji yang pernah dikemukakan oleh Pakatan Harapan kepada rakyat. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast