Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Kerajaan digesa melaksanakan reformasi menyeluruh dalam sektor pendidikan, kesihatan, produktiviti, infrastruktur dan pengurusan fiskal bagi menjamin masa depan ekonomi negara yang lebih adil dan mampan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, bantuan tunai yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu wajar menjadi langkah sementara dan bukannya penyelesaian jangka panjang.

“Bantuan kewangan berterusan boleh membawa kepada defisit fiskal, kebergantungan rakyat serta tekanan inflasi.

“CAP menyambut baik kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, namun negara perlu beralih kepada dasar gaji sara hidup kerana kadar semasa tidak lagi sepadan dengan kos sebenar kehidupan.

“Malah, gaji rendah menyebabkan penghijrahan bakat dan melemahkan kuasa beli rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas berkaitan sektor pertanian, Mohideen menggesa kerajaan memperluas penggunaan kaedah kawalan biologi seperti penggunaan itik untuk mengawal perosak di sawah, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada bahan kimia.

“Keperluan menyasarkan subsidi bahan api kepada golongan B40 dan M40 bawah sahaja, serta mengehadkan bantuan RM100 melalui MyKad kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Negara berdepan hutang melebihi RM1 trilion, maka pengurusan fiskal mesti berhemah,” katanya.

“Kita juga menggesa pengurangan kebergantungan kepada buruh asing serta pembaharuan sistem pendidikan ke arah ekonomi digital dan mampan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast