KUALA LUMPUR – Mayat wanita yang ditemui dalam keadaan tertiarap di bawah jambatan Jalan Jurutera, Puchong, Subang Jaya pada Isnin lalu dipercayai berkait dengan kehilangan pelajar kolej swasta yang dilaporkan hilang minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, identiti mangsa yang berusia 23 tahun itu dikenal pasti hasil semakan laporan orang hilang yang dibuat kakaknya pada 26 Julai lalu.
“Siasatan mendapati kakak mangsa telah diminta adiknya untuk menjemputnya di stesen LRT Putra Height pukul tengah hari, 25 Julai lepas.
“Namun pengadu memaklumkan adiknya tidak dapat dihubungi sehingga keesokan harinya pukul 2 petang pada 26 Julai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wan Azlan, bedah siasat ke atas mayat itu dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang kelmarin mendapati tiada kesan pergelutan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.
“Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan penuh keputusan makmal. Pemeriksaan lanjut ke atas mayat, kita menemui satu anak kunci dalam poket seluar mangsa sebelum polis membuat pemeriksaan ke atas rumah dipercayai didiami mangsa di Jalan Klang Lama.
“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan kelibat si mati berada di kawasan terbabit sebelum dilaporkan hilang,” ujarnya.
Pengecaman awal oleh waris mengesahkan pakaian pada mayat sepadan dengan milik mangsa namun pengesahan identiti masih menunggu keputusan padanan cap jari.
Terdahulu, media melaporkan mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan tertiarap di atas batu di Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Puchong tanpa dokumen pengenalan diri.
Wan Azlan dilaporkan berkata, mayat ditemui oleh orang awam pukul 11.58 pagi kelmarin dan disyaki sudah berada dalam sungai lebih 24 jam berdasarkan keadaan tubuh yang mulai kembung. – MalaysiaGazette
















