KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdoa agar ancaman tsunami akibat gempa bumi besar di pesisir timur jauh Rusia, segera berakhir.
Katanya, seperti orang lain, beliau juga menyaksikan amaran tsunami di seluruh Lautan Pasifik dengan rasa cemas kerana menyedari betapa besar risiko yang dihadapi oleh komuniti dari Kamchatka hingga ke Jepun, Guam dan kawasan sekitarnya.
“Saya berasa amat lega apabila setakat ini tiada laporan mengenai kematian atau kerosakan serius.
“Pujian harus diberikan kepada tindakan pantas sistem amaran awal dan pasukan kecemasan yang segera bertindak melindungi nyawa.
“Doa dan ingatan saya tetap bersama semua yang melalui saat-saat penuh keresahan menunggu khabar, dan saya berharap bahaya ini benar-benar sudah berakhir,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini.
Awal hari ini, amaran tsunami merentasi Pasifik telah ditarik balik, sekali gus membenarkan berjuta-juta mangsa yang dipindahkan sementara pulang ke rumah masing-masing.
Lebih 12 negara dari Jepun hingga ke Amerika Syarikat dan Ecuador telah mengeluarkan amaran kepada rakyat masing-masing supaya menjauhi kawasan pantai selepas gempa bumi paling kuat menggegarkan Timur Jauh Rusia, semalam.
Air laut bergelora sehingga empat meter di beberapa bahagian Pasifik, selepas gempa bumi 8.8 magnitud melanda Semenanjung Kamchatka, Rusia.
Akibatnya, Peru menutup 65 daripada 121 pelabuhan Pasifiknya dan pihak berkuasa di Maui membatalkan penerbangan ke dan dari Pulau Hawaii.
Di Jepun, hampir dua juta orang telah diarah ke tempat yang lebih tinggi, sebelum amaran itu diturunkan atau dibatalkan.
ARTIKEL BERKAITAN
Berjuta-juta penduduk pulang ke rumah selepas amaran tsunami ditarik balik
















