Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan

KUALA LUMPUR – Semua kelulusan di bawah program Transformasi Masyarakat India (MITRA) dilaksanakan melalui proses penyelarasan dan penelitian rapi oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi memastikan setiap peruntukan disalurkan dengan telus dan berimpak tinggi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan menegaskan, setiap permohonan yang dikemukakan bukan sahaja melalui MITRA, malah turut melalui proses saringan melibatkan bahagian pemantauan, kewangan dan integriti di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memantau secara langsung semua perancangan dan perkembangan pelaksanaan program MITRA. Beliau mahu memastikan sistem penyampaian benar-benar telus dan menepati harapan komuniti India, khususnya kumpulan B40,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramanan yang turut dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal komuniti India berkata, setiap keputusan yang diluluskan oleh PMO adalah hasil daripada proses penyelarasan yang teliti, berfakta dan merangkumi input pelbagai kementerian serta agensi berkaitan, termasuk MITRA.

“Perdana Menteri mahu memastikan dana kerajaan yang diperuntukkan untuk membantu masyarakat India benar-benar disalurkan kepada program yang meningkatkan taraf hidup mereka. Beliau juga tidak mahu wujud sebarang pertindihan dengan inisiatif agensi kerajaan lain,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Ramanan yang juga mantan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA menjelaskan agensi itu memainkan peranan penting dalam merangka inisiatif khusus untuk masyarakat India dengan melibatkan pelbagai agensi dan kementerian selama ini.

Antaranya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Sumber Manusia (MOHR) dan lain-lain.

“PMO bertindak sebagai penyelaras dasar negara. Ia tidak mengambil alih peranan mana-mana agensi, sebaliknya memastikan semua inisiatif bergerak selaras dengan dasar kerajaan dan memberi kesan positif kepada rakyat.

“Pendekatan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap sen peruntukan MITRA benar-benar sampai kepada golongan sasaran dan membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat India di negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

16 program berimpak tinggi masyarakat India diluluskan menerusi MITRA – PMO

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast