KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli gembira apabila mendapati 95 peratus inisiatif yang dibangunkan olehnya dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dikekalkan.
Semua reformasi besar melibatkan sistem pendidikan, struktur ekonomi termasuklah agenda negara menua dan membangunkan sektor ketiga semuanya dikekalkan.
“Di samping itu, rekayasa ekonomi yang telah dimulakan sebelum ini – dari NETR, KL20, JSSEZ, “Made by Malaysia”, beralih ke ekonomi berasaskan “consumption powerhouse”, pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan yang telah dibangunkan dan belum diumumkan seperti Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ) – semuanya ada.
“Begitu juga beberapa hasil kerja kami di Kementerian Ekonomi yang banyak tentangan sebelum ini, termasuklah pelaksanaan “anti red tape act” (ILTIZAM) dan akta mengharamkan amalan Ali Baba, semuanya dikekalkan,” katanya menerusi kenyataan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Pandan itu menambah, beliau akan mengambil peluang untuk membahaskannya di Parlimen sama ada Isnin atau Selasa depan.
“Seterusnya podcast YBM minggu depan (Jumaat, 8 Ogos) saya akan bersama-sama Dr. Muhammad Khalid untuk mengupas RMK13 dengan lebih mendalam.
“Sepanjang Ogos ini, saya juga akan mengupas sektor/bab satu persatu, untuk berkongsi perkara-perkara dasar yang perlu diketahui rakyat,” tambahnya.
Dalam pada itu, Rafizi mengucapkan tahniah kepada semua warga Kementerian Ekonomi dan pasukan yang menyiapkan RMK-13 kerana bertungkus lumus menyediakan dokumen ini selama 20 bulan.
Ujarnya, kini tugas kerajaan adalah memastikan rancangan yang dibentangkan hari ini akan dilaksanakan meskipun kerajaan berbubah.
“Tugas mereka lebih mencabar akibat ura-ura rombakan yang perlu dibuat di saat akhir. Alhamdulillah, akhirnya ura-ura itu hanya reaksi politik sahaja, bermakna kepimpinan Kementerian Ekonomi berjaya mempertahankan supaya perancangan jangka masa panjang negara jangan dicampur aduk dengan hiruk pikuk politik.
“Habis satu tugas, kita semua ada tugas yang baru iaitu memastikan perancangan ini dilaksanakan dengan cekap, sesiapa pun menjadi kerajaan. Doa saya, rakyat jua yang akan mendapat manfaat di masa akan datang,” kata Rafizi lagi.
Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada 27 Mei lalu
Beliau membuat keputusan berkenaan selepas mendakwa Anwar hilang keyakinan kepada beliau sebagai orang nombor dua parti (Timbalan Presiden PKR sebelum ini) dan menteri.-MalaysiaGazette
















