KUALA LUMPUR – Pelbagai langkah berani dan tuntas telah dilaksanakan Kerajaan Madani bagi mengemudi dasar negara ke arah kemampanan dan kesejahteraan rakyat sejak mengambil alih tampuk pentadbiran pada November 2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hala tuju baharu negara dizahirkan menerusi penggubalan kerangka Ekonomi Madani yang menekankan nilai integriti, reformasi struktur ekonomi serta keadilan sosial.
“Di bawah Ekonomi Madani, Kerajaan telah memulakan reformasi struktur ekonomi, termasuk melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Dasar TVET Negara 2030.
“Swasta turut bergerak seiring menerusi program GEARuP yang dipacu syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan pelaburan langsung domestik (DDI),” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen di sini hari ini.
Empat tonggak utama digariskan di bawah RMK13 yang bertemakan Melakar Semula Pembangunan ialah meningkatkan kerencaman ekonomi, meningkatkan mobiliti sosial, mempercepat pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Anwar menambah, Pelan KL20 pula diperkenalkan dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur antara 20 ekosistem terbaik dunia bagi syarikat pemula.
Perdana Menteri, bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi domestik, pelaburan melalui kerjasama strategik dengan pihak industri terus diperkukuh.
“Inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) pula telah berjaya menarik pelaburan asing dan domestik dalam sektor berteknologi tinggi,” ujarnya.
“Tidak terhenti di situ, tumpuan pembangunan turut diperluas di Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif Tanjung Malim (AHTV) di negeri Perak, serta taman-taman perindustrian strategik di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan juga melaksanakan reformasi perundangan secara menyeluruh dengan lebih 80 undang-undang digubal dan dipinda termasuk Akta ILTIZAM, Akta Perkongsian Data, Akta Polis dan Akta Kanak-kanak.
Dalam aspek tadbir urus dan integriti, agensi seperti Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia terus diperkasakan bagi memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.
Bagi pengurusan fiskal negara pula Anwar berkata, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal digubal sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan defisit negara.
Katanya, kerajaan juga terus komited menangani kos sara hidup melalui pelaksanaan subsidi bersasar bagi diesel dan elektrik, selain mempertingkatkan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
“Penerima Sara misalnya telah diperluas daripada 700,000 penerima awal yang terdiri daripada golongan miskin tegar, kepada 5.4 juta penerima yang turut meliputi golongan B40.
“Minggu lepas, saya juga telah mengumumkan pemberian Sara secara one-off kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas,” jelasnya.
Dalam aspek pendapatan rakyat, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan berjaya menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan kini RM1,700.
“Manakala penanda aras gaji kehidupan wajar bagi pekerja GLC dan GLIC telah ditetapkan pada RM3,100 sebulan,” katanya.
Anwar turut memaklumkan 95.6 peratus graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan, dengan kebanyakan mereka menerima gaji melebihi paras minimum.
Pada masa sama katanya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan asas rakyat termasuk membaik pulih sekolah dan klinik daif, penyelenggaraan jalan raya serta pelaksanaan projek tebatan banjir. – MalaysiaGazette
















