[ARKIB] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku pengerusi ASEAN mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai di Putrajaya. 28 JULAI 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

BANGKOK – Kementerian Pertahanan Thailand mencadangkan agar mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang akan datang diadakan di lokasi berkecuali, dan mengesyorkan Malaysia sebagai lokasi mesyuarat berkenaan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Laksamana Muda Surasan Kongsiri dalam satu kenyataan berkata cadangan itu selaras dengan amalan standard antarabangsa untuk tidak mengadakan mesyuarat antara pihak-pihak yang bertelagah di wilayah mana-mana negara yang terlibat dalam konflik.

Beliau menambah bahawa Pemangku Menteri Pertahanan Jeneral Natthapon Nakpanich dijadual menghadiri mesyuarat GBC itu,  yang dicadangkan oleh Kemboja untuk diadakan pada 4 Ogos.

“Mesyuarat GBC memberi peluang untuk bersama-sama meneroka jalan ke hadapan dalam meredakan ketegangan dan menyelesaikan isu sempadan serta keselamatan, yang mencerminkan komitmen bersama kita terhadap keamanan, kestabilan, saling menghormati dan semangat kejiranan yang baik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Bagaimanapun, Surasan menekankan bahawa memandangkan sifat sensitif situasi di kedua-dua negara, adalah lebih wajar untuk mengadakan mesyuarat itu di lokasi berkecuali, seperti Malaysia.

“Walaupun diakui bahawa, dalam keadaan biasa, mesyuarat dua hala diadakan secara bergilir – dan Thailand baru-baru ini menjadi tuan rumah – sesi akan datang ini bersifat luar biasa.

“Oleh itu, saya percaya adalah wajar untuk mengadakan mesyuarat ini di lokasi yang berkecuali,” katanya.

Surasan turut mencadangkan agar tempoh masa yang mencukupi diberikan untuk perbincangan komprehensif dan menyarankan agar mesyuarat itu diadakan dari 4 hingga 7 Ogos 2025.

Konflik di sempadan Thailand-Kemboja bermula dengan pertempuran singkat pada 28 Mei dan memuncak menjadi pertempuran bersenjata pada 24 Julai.

Pada Isnin, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas yang dianjurkan di Putrajaya oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast