MUAR – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan jalan laut selepas menangkap 10 suspek termasuk suami isteri dan merampas RM2 juta dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan itu adalah hasil serbuan di daerah ini dan Batu Pahat selain Cheras di Kuala Lumpur antara pukul 2 hingga 5 petang pada 21 Julai lalu.
“Dalam serbuan itu sembilan suspek ditahan berusia antara 29 hingga 70 tahun termasuk seorang lelaki warga asing.
“Pihak polis turut merampas 61.3 kilogram (kg) methampethamin dan 51.3 gram (g) pil ekstasi bernilai RM2 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, hari ini.
Katanya, sindiket itu mula aktif sejak Oktober lalu menjadikan rumah teres sebagai lokasi penyimpanan dadah, sebelum dipasarkan ke pasaran antarabangsa melalui laluan laut menggunakan bot.
Jelasnya, kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan sebuah kereta mewah di Parit Pulai di Parit Jawa, di sini dan menahan seorang lelaki.
Menerusi pemeriksaan katanya, pihak polis menemukan 51 bungkusan plastik berwarna hijau, biru dan merah disyaki methamphetamine seberat anggaran 51kg.
“Serbuan susulan dilakukan dalam rumah dan sekitar kawasan Parit Pulai sebelum sepasang suami isteri ditahan. Lima lagi suspek termasuk seorang warga asing ditahan di Parit Bakar, di sini,” ujarnya.
Selain itu, katanya, seorang lagi ditahan di Batu Pahat dipercayai ketua sindiket manakala suspek terakhir ditahan di sebuah rumah di Cheras.
“Hasil pemeriksaan menemui 17 paket plastik mengandungi methamphetamine seberat 10kg dan 105 pil ekstasi anggaran berat 51 gram,” katanya.
Hussein berkata, suspek mengaku menerima upah antara RM3,000 hingga RM15,000 sebulan, dengan ujian saringan air kencing mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis ketamin, methamphetamine dan ganja.
Semakan mendapati tiga daripada mereka memiliki rekod lampau berkaitan jenayah senjata api dan dadah, katanya.
“Kita juga menyita beberapa kenderaan, wang tunai, beg dan jam tangan mewah bernilai RM725,655 dengan keseluruhan nilai anggaran rampasan dadah dan sitaan adalah RM2.7 juta.
“Sindiket ini membabitkan beberapa kumpulan di mana mereka mendapatkan dadah dan menyimpan di Lembah Klang sebelum sebahagiannya diedarkan ke Johor,” katanya. – MalaysiaGazette
















