KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan sekumpulan penunggang basikal didakwa menghalang laluan sebuah kereta di Persiaran Dato Mentari berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Muda, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya telah mengesan video tular kejadian itu di media sosial didakwa berlaku pada 29 Julai lalu sekitar jam 9.30 malam.

“Menerusi rakaman papan pemuka dashcam yang tular memaparkan tindakan kumpulan itu menunggang basikal di lorong kanan dan kiri sehingga menghalang dan mengepung laluan pemandu kereta itu.

“Situasi itu menyebabkan pemandu terbabit terpaksa memperlahankan kenderaannya akibat terhalang dengan kumpulan penunggang basikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah 42 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan LN 166/1959.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast