Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyambut baik keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menurunkan kadar tarif balas terhadap eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Keputusan ini dimuktamadkan hasil rundingan tarif antara Malaysia dan AS yang berlangsung sejak 6 Mei lalu dan berakhir secara rasmi pada 31 Julai 2025.

Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menyifatkan keputusan itu sebagai pencapaian penting hasil rundingan yang teliti dan berprinsip oleh pihak Malaysia.

Menurutnya, pengurangan kadar tarif ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan AS terhadap kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang dan pelaburan yang kukuh malah membuktikan keupayaan negara mempertahankan kepentingan dasar-dasar utamanya tanpa mengorbankan hak kedaulatan.

Katanya lagi, keputusan AS itu menunjukkan kekuatan hubungan ekonomi dua hala yang telah terjalin selama lebih enam dekad antara kedua-dua negara.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Pejabat Wakil Perdagangan AS dan Jabatan Perdagangan AS atas kerjasama konstruktif sepanjang proses rundingan berlangsung.

Malaysia, katanya, telah menegaskan pendirian terhadap beberapa isu ‘garisan merah’ dalam perbincangan dan berjaya memastikan kadar 19 peratus ini dicapai tanpa menjejaskan dasar sosioekonomi penting negara.

MITI turut memaklumkan pengurangan tarif ini memberi isyarat positif kepada para pengeksport tempatan, dan kementerian sedang bekerjasama rapat dengan agensi-agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menilai dan menguruskan kesan tarif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

“Menerusi strategi yang komprehensif, MITI komited untuk terus melaksanakan program pembaharuan industri seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Pelaburan Hijau, dan Strategi Nasional Semikonduktor.

“Usaha ini bertujuan membantu syarikat-syarikat Malaysia terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk beralih kepada operasi lebih cekap dan produktif melalui automasi serta transformasi teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global semakin meningkat sejak Mac 2025 berikutan perubahan dasar perdagangan, tarif tidak menentu dan ketegangan geopolitik, MITI menegaskan Malaysia berada dalam kedudukan yang berdaya tahan.

Jelasnya, permintaan domestik kekal kukuh hasil sokongan dasar kerajaan dan pelaksanaan reformasi industri yang konsisten, yang secara tidak langsung memperkukuh penggunaan swasta dan pelaburan langsung asing.

“MITI akan terus memanfaatkan momentum pelaburan yang diluluskan, termasuk projek infrastruktur berskala besar yang sedang berjalan, serta kadar realisasi pelaburan yang konsisten melebihi 85 peratus.

“Malaysia akan terus mempertahankan kepentingan perdagangan negara di samping menjalin kerjasama strategik dan saling menguntungkan dengan ekonomi utama dunia termasuk AS.

“Usaha  diversifikasi pasaran eksport dan reformasi industri akan terus dipacu sebagai strategi jangka panjang bagi memastikan pertumbuhan negara kekal mampan,” ujarnya.

Dalam pada itu, MITI turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memainkan peranan penting dalam proses rundingan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kementerian-kementerian berkaitan, Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM), Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC), serta wakil-wakil industri dan badan pemikir.

Difahamkan juga dalam tempoh terdekat, MITI bersama kementerian dan agensi berkaitan akan melaksanakan sesi libat urus khusus untuk memberi penerangan berhubung pelaksanaan kadar tarif baharu ke atas eksport Malaysia ke pasaran AS.

AS merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia dengan nilai mencecah RM198.65 bilion serta menjadi sumber pelaburan asing terbesar negara dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM32.82 bilion bagi tahun 2024. -MalaysiaGAzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast