MELAKA – Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin, bulan lalu.
Tertuduh, Ahmad Ramdzan Mohamed, 26, dan Farah Amira Mohamad Ali, 28, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes mengedar dadah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua tertuduh didakwa mengedar dadah disyaki mengandungi dadah jenis heroin berat kasar 15.06 gram di tepi jalan simpang Jalan Teruna 1, Taman Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 6 petang 22 Julai 2025.
Sabit kesalahan, pasangan itu berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah jika tidak dihukum gantung sampai mati, disebat tidak kurang 12 sebatan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).
Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd. Zaidi Tahir memaklumkan laporan kimia masih belum diperolehi dan tidak menawarkan sebarang jaminan manakala pasangan itu tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan tarikh 9 September depan untuk sebutan semula kes.
Dalam prosiding sama, kedua tertuduh mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 186 KK kerana menghalang tugas seorang penjawat awam iaitu dua anggota polis lelaki daripada menjalankan tugas hakiki dengan cara melarikan diri semasa pemeriksaan dijalankan.
Kesalahan tu dilakukan kira-kira pukul 6.02 petang di Blok C Pangsapuri Anika, Lorong Pandan Melaka dalam daerah Melaka Tengah pada tarikh yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Ahmad Ramdzan memohon dibicarakan atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis lelaki semasa melaksanakan tugasnya sebagai penjawat awam di Jalan Teruna 1 Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah pada tarikh sama.
Penganggur itu berdepan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 332 kanun sama jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan pasangan itu diikat jamin kerana telah dituduh dibawah Seksyen 39B (1)(a).
















