MELAKA – Seorang lelaki pelajar kolej mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan liwat dengan seorang lelaki, April lalu.
Tertuduh, Muhammad Nabil Junaidi, 24, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kanan, Abu Bakar Mohd Daud.
Bagaimanapun hakim menangguhkan hukuman yang akan diputuskan pada 22 Oktober ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan liwat dengan Mohammad Fahmi Kamarudin, 26, di Kampung Gangsa, Durian Tunggal dalam Daerah Melaka Tengah di sini 11 April lalu.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM 5,000 atau dipenjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 56 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
Sementara itu dalam prosiding sama, pasangan itu dan seorang lagi lelaki, Meor Aliff Isqandar Meor Shaharudin, 21, turut mengaku bersalah atas pertuduhan bersama-sama dan sengaja cuba melakukan liwat dengan cara meraba-raba serta melakukan oral seks secara bertiga.
Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah rumah yang beralamat di Jalan Pengkalan Batu, Bukit Sebukor, dalam Daerah Melaka Tengah, di sini pada 27 Julai 2025.
Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 57 Enakmen sama yang membawa hukuman sama.
Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam dan masih bujang dalam rayuan masing-masing sekadar memohon hukuman yang rendah.
Pendakwaan yang dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie, Atras Mohamad Zin dan Timbalannya, Norazita Mohd Ali dan pendakwa syarie Rabiatul Adabiah Mohd Dahlan.
Atras dalam hujahannya memohon hukuman maksimum mengambil kira peluang rayuan yang diberikan ketiga-tiga tertuduh hanya meminta hukuman dikurangkan selain sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Rayuan tanpa alasan munasabah juga, hujahnya tidak menggambarkan keseriusan kesemua tertuduh terhadap kesalahan dilakukan dan mengambil enteng kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Abu Bakar menetapkan tarikh 22 Oktober ini untuk menjatuhkan hukuman dan membenarkan setiap tertuduh dijamin RM3,000 atau dengan seorang penjamin. – MalaysiaGazette
















