MELAKA – Jabatan Agama lslam Melaka (JAIM) menahan tiga lelaki selepas disyaki melakukan hubungan seks sejenis atau liwat ‘threesome’ sesama mereka.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ketiga-tiga mereka berumur 21, 24 dan 26 tahun itu ditahan Bahagian Penguatkuasaan JAIM dengan kerjasama polis pada jam 1.30 tengah hari semalam.
“Perbuatan ketiga-tiga suspek itu turut dibuktikan dengan bukti bergambar dan rakaman video perbuatan hubungan seks sejenis dan seks berkumpulan, ‘threesome’.
“Kesalahan ini secara dasarnya melanggar hukum syariat kerana budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) merupakan salah satu gaya hidup masyarakat moden yang diadaptasi dari budaya Barat.
“Telefon bimbit ketiga-tiga suspek berusia 21, 24 dan 26 tahun telah disita oleh penguat kuasa JAIM untuk dijadikan barang kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mengambil pengajaran dari kisah umat terdahulu, Allah telah melaknat kaum Nabi Luth yang merupakan pelaku pertama perlakuan homoseksual di kalangan lelaki mahupun wanita.
“Kesalahan ini juga selari dengan dapatan data dari Jabatan Kesihatan Negeri Melaka juga menunjukkan peningkatan bilangan dan kadar insiden jangkitan transmisi seksual (STD) meliputi HIV, AIDS, Chancroid, Gonorrhea, dan Sifilis.
“Terdapat 2,037 kes iaitu 64 peratus daripada jumlah 3,185 kes jangkitan HIV yang dilaporkan pada 2024 adalah jangkitan menerusi hubungan homoseksual dan biseksual,” katanya
Tambah beliau, operasi penguatkuasaan dijalankan mengikut Seksyen di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 bagi kesalahan di bawah Seksyen 56 (Liwat), Seksyen 57 Percubaan Liwat dan Seksyen 58 Perhubungan Jenis Luar Tabi, Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 36 bulan atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette
















