KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyumbangkan sebuah ambulans kepada Institut Perubatan Respiratori (IPR), Hospital Kuala Lumpur sebagai inisiatif menyantuni pesakit asnaf melalui pendekatan menyeluruh dalam kebajikan kesihatan.

Sumbangan disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar hari ini.

Katanya, ambulans bernilai RM450,000 itu diharap dapat membantu IPR memindahkan pesakit kebajikan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Sifat ihsan yang ada pada MAIWP ini diterjemah dalam bentuk bantuan yang diberikan kepada institusi. IPR sangat penting sebab mereka membantu menyelematkan nyawa pesakit yang ada di sini,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran, di sini, hari ini.

Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada Kluster Perubatan dalam strategi agihan zakat MAIWP yang meliputi 38 skim bantuan.

Bagi tahun 2025, sebanyak RM1.85 juta telah diagihkan kepada 14 institusi kesihatan termasuk hospital dan pusat perubatan selain sumbangan bas coaster bernilai RM229,000 untuk kemudahan pesakit dan waris di HKL.

Sementara itu, Mohd Na’im sempat melawat tiga keluarga asnaf di Flat Taman Segambut dan Kuarters Jalan Dutamas, di sini, hari ini.

Jelasnya, bagi tahun ini MAIWP telah membantu lebih 30,000 asnaf menerusi pelbagai skim berbeza antaranya kebajikan, perubatan dan pendidikan.

“Macam yang kita bantu hari ini kebanyakan mereka menerima bantuan bulanan, ada yang kita bantu bayar sewa rumah, beli alat perubatan.

“Selain kita beri bantuan bulanan ada yang kita beri alat kelengkapan perubatan,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast