Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menggubal dasar kawal selia yang menyeluruh dan berasaskan bukti saintifik terhadap produk vape, selari dengan pendekatan yang telah lama diambil terhadap rokok.

Ini susulan kebimbangan terhadap dasar sedia ada yang tidak komsisten apabila rokok kekal sah dijual manakala vape berdepan ancaman larangan.

Presiden Malaysian Organization of Vape Entity (MOVE), Samsul Kamal berkata, langkah mengharamkan produk vape secara keseluruhan sambil akan membenarkan rokok dijual secara sah menunjukkan kecacatan besar dalam dasar kesihatan awam negara.

“Isu ini tidak akan selesai selagi semua pihak berkepentingan termasuk penggubal dasar, NGO anti-vape, agensi kerajaan, profesional kesihatan, PIBG, majlis agama dan media tidak menerima hakikat bahawa vape adalah satu alat pengurangan kemudaratan yang diiktiraf secara saintifik,” katanya dalam kenyataan.

Presiden Malaysian Organization of Vape Entity (MOVE), Samsul Kamal.

Samsul berkata, sebarang dasar berkaitan vape mesti diasaskan kepada data global, fakta saintifik dan amalan berasaskan bukti bukan berdasarkan ketakutan, bias moral atau salah faham.

“Langkah sebesar ini, yang memberi impak besar kepada kesihatan awam dan ekonomi negara, tidak boleh diputuskan hanya berdasarkan persepsi.

“Ingat, pinggir vape hanya akan menolak pengguna ke pasaran gelap, sekaligus menggagalkan usaha mengurangkan mudarat akibat rokok,” ujarnya.

Tambah beliau, segelintir pakar kesihatan awam menyokong pendekatan pengurangan kemudaratan (tobacco harm reduction), yang mengiktiraf bahawa tidak semua produk tembakau dan nikotin membawa risiko yang sama.

Di negara seperti United Kingdom dan New Zealand, vape yang dikawal selia telah terbukti membantu jutaan perokok dewasa berhenti merokok.

“Tumpuan perlu diberi kepada bahan kimia yang digunakan dalam vape, dan bukan alat itu sendiri. Kawalan yang ketat ke atas kandungan berbahaya dan nikotin akan lebih berkesan berbanding larangan menyeluruh yang menghukum semua pengguna secara sama rata,” katanya.

Sementara itu, kata Samsul, tanpa kawal selia yang jelas mendorong penyebaran vape haram dengan kandungan bahan terlarang seperti dadah sintetik.

Jelasnya, produk seumpama ini bukan sahaja membahayakan pengguna, terutamanya belia, malah sukar dikesan oleh pihak berkuasa.

“Tanpa kawalan yang sah dan menyeluruh, kita bukan sahaja gagal melindungi pengguna, malah memberi ruang kepada pasaran gelap untuk terus berkembang. Ini mengulangi kesilapan yang kita sedang hadapi dalam isu rokok seludup,” jelas Samsul.

MOVE mencadangkan agar vape dikenakan peraturan yang setara dengan rokok antaranya pelesenan penjual, had umur, kawalan kandungan, dan peraturan pemasaran ketat.

Katanya, ini bukan sahaja membantu melindungi remaja daripada pendedahan awal, malah membuka ruang untuk hasil cukai baharu bagi negara.

“Seperti mana jarum suntikan tidak diharamkan tetapi ubat dikawal, begitu juga vape. Ia adalah alat dan kita harus fokus kepada bahan yang dikandungnya,” tegasnya. -MalaysiaGazette

Akta haram vape perlu dibentang tahun ini – Teresa

Naikkan segera cukai vape selari cukai rokok – Wan Saiful

KKM sokong tindakan negeri henti lesen vape

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast