KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) diseru membentangkan pindaan terhadap Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) di Parlimen untuk mengharamkan vape dan rokok elektronik tahun ini.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, Malaysia sewajarnya mencontohi negara-negara seperti Thailand, Singapura, Brazil dan Argentina yang telah melaksanakan larangan sepenuhnya ke atas vape dan rokok elektronik.
Apatah lagi, ujar beliau, statistik yang dikemukakan KKM sangat membimbangkan yang mana 70 peratus daripada produk vape yang disiasat setakat Jun lalu, didapati mengandungi bahan terlarang termasuk dadah seperti methamphetamine dan synthetic cannabinoids.
Malah, ujarnya, pada tahun lalu pula, 80 peratus daripada kes yang disiasat melibatkan unsur penyalahgunaan dadah melalui vape.

“Fakta ini menjelaskan bahawa produk vape kini bukan sahaja menjejaskan kesihatan malah menjadi alat penyeludupan dan penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan remaja dan belia.
“Justeru, sebarang kelewatan dalam tindakan hanya akan mengundang risiko lebih besar terhadap masyarakat,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Sementara itu, menurut Teresa, penggunaan vape dan rokok elektronik bukan alternatif selamat seperti yang sering digambarkan, sebaliknya boleh memberikan kesan yang serius terhadap kesihatan manusia.
Apatah lagi, dakwanya, peranti vape yang dijual di Malaysia mempunyai kandungan nikotin tertinggi di dunia iaitu antara tiga hingga lima peratus yang boleh menyebabkan ketagihan serius malah lebih cepat daripada rokok biasa terutama dalam kalangan remaja.
Selain itu, menurut beliau, vape dan rokok eletronik juga membuka pintu kepada penyalahgunaan dadah.
“Sistem terbuka vape membolehkan cecair diisi semula dan kini menjadi saluran untuk menyuntik dadah terlarang secara tersembunyi.
“Ini menjadikan vape sebagai alat berbahaya yang sukar dikesan oleh pihak berkuasa dan ibu bapa. Reka bentuk moden, perisa manis dan promosi agresif menjadikan vape produk yang sangat menarik kepada remaja.
“Ini menyumbang kepada peningkatan kes ketagihan awal, yang sukar dipulihkan,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Teresa, isu larangan vape dan rokok elektronik tidak sewajarnya dipandang enteng, sebaliknya memerlukan tindakan segera.
“Saya komited untuk menyokong segala usaha kerajaan dalam melindungi kesihatan rakyat, khususnya generasi muda.
“Vape bukan trend moden, tetapi ancaman kesihatan dan keselamatan yang memerlukan tindakan segera dan tegas,” katanya. – MalaysiaGazette
















