JOHOR BAHRU – UMNO sebagai parti paling lama dalam negara seharusnya mempunyai pengalaman untuk mendepani sebarang situasi dalam memastikan kelangsungan perjuangan parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, parti tidak boleh merasakan rakyat akan sentiasa kenang jasa serta membalas budi dengan memberikan sokongan kepada UMNO.
“Justeru, kita perlu bangkit semula untuk memenangi hati rakyat. Penting untuk kita ingat, jika kita jatuh, tidak mungkin kita akan berterusan jatuh.
“Mana mungkin parti yang kalah teruk pada PRU (pilihan raya umum) lepas mempunyai sokongan perwakilan seramai ini. Jadi, kita perlu ubah strategi untuk kembali berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau berkata, UMNO perlu tukar cara berpolitik dan mempunyai strategi tersendiri bagi menyantuni pengundi muda yang menjadi penentu kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
UMNO, katanya, tidak boleh merasakan rakyat akan terhutang budi dengan jasa sepanjang 60 tahun mentadbir negara.
Generasi muda yang tidak terikat dengan nilai sentimental terhadap mana-mana parti politik mempunyai ciri-ciri pemimpin yang akan dipilih dalam proses demokrasi itu nanti.
“Politik masa kini bukan macam dulu, sekarang pelajar lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun sudah boleh pilih pemimpin. Jadi, kita kena tahu macam mana nak santuni mereka.
“Ini tidak termasuk mereka yang merupakan lepasan universiti dan baru hendak membina keluarga. Setiap mereka ini mempunyai kemahuan yang berbeza,” ujar Ahli Parlimen Titiwangsa itu.- MalaysiaGazette















